Bersatu selar pihak tidak hormati keputusan Majlis Presiden PH

Iklan
Dr Muhammad Faiz Na'aman

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman menyelar pihak yang tidak menghormati keputusan konsensus pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) berhubung isu peralihan kuasa di antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, sedia maklum bahawa peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah dinoktahkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, malam tadi.

Iklan
Iklan

Katanya, beberapa pemimpin termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri telah meminta semua pihak fokus untuk menangani masalah negara daripada terus membincangkan hal peralihan kuasa itu.

Muhammad Faiz berkata, bagaimana pun Otai Reformis seolah-olah lebih bersifat seperti pembangkang apabila secara terbuka mengisytiharkan 'pelan B' untuk turun ke jalanan seperti reformasi pada tahun 1998 sekiranya Dr Mahathir tidak meletakkan jawatan menjelang bulan Mei tahun ini.

Iklan

"Mereka masih berteriak di luar sana sama ada melalui media massa mahupun media sosial, terus mengapi-apikan sentimen yang boleh mengeruhkan lagi hubungan sesama rakan parti komponen PH.

"Otai Reformis adalah salah satu pihak yang cukup tegar membuat provokasi, menimbulkan syak wasangka malah terus menghasut agar rakyat kembali ke jalan raya untuk mendesak peralihan kuasa Perdana Menteri.

Iklan

"Otai Reformis yang merupakan NGO pro PKR itu antara faktor wujudnya pula golongan pendesak lain dalam PH sebagai reaksi terhadap desakan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tindakan seperti itu jelas merupakan satu bentuk ugutan bagi menghuru-harakan kerajaan dan PH.

"Ia bagaikan tindakan sabotaj yang hanya memberi manfaat kepada pihak pembangkang atau kuasa luar yang sedang mengintai untuk mengambil kesempatan terhadap ketidak-stabilan yang bakal terjadi.

"Walau apa jua alasan Otai Reformis, mereka perlu menerima hakikat bahawa rusuhan di jalanan telah gagal menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1998," katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya, adalah wajar bagi mana-mana NGO yang mengaku pro kepada mana-mana parti rakan komponen PH atau mana-mana pemimpin dalam PH bertindak dengan lebih bijaksana.

"Ini agar pihak yang diwakili mereka tidak menanggung malu serta beban akibat kelantangan yang melampaui batas. Jangan kerana emosi maka segala usaha persepakatan secara musyawarah gagal," katanya.