PERATURAN-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 menetapkan hanya guru besar atau guru yang diberikan kuasa boleh merotan murid.
Peraturan itu juga menetapkan hukuman sama sekali tidak boleh dilaksanakan di khalayak ramai atau di tapak perhimpunan sekolah, selain tidak boleh dikenakan ke atas murid perempuan.
Untuk melaksanakan hukuman ini rata-rata pentadbir sekolah, akan melakukan siasatan dengan penuh teliti dan apabila terbukti bersalah, barulah murid terlibat dikenakan tindakan.
Itu pun ia mungkin langkah terakhir diambil setelah segala usaha dilakukan bagi memastikan kemenjadian murid tidak berjaya atau kesalahan yang dilakukan agak berat.
Pihak sekolah juga akan sentiasa berhati-hati dalam menguruskan soal hukuman itu bagi mengelak isu berbangkit terutama apabila ia boleh dikaitkan dengan soal perundangan.
Peraturan yang telah ditetapkan itu juga dapat mengelakkan kes hukuman yang mengaibkan hingga meninggalkan kesan trauma sehingga dewasa.
Tambahan pula, pendekatan untuk mendisiplinkan murid pada era mencabar ini tidak sama dengan zaman dahulu.
Walaupun ada beberapa kesan positif daripada hukuman rotan, sudut negatif hukuman tersebut perlu diambil kira.
Antaranya, dalam sesetengah keadaan, hukuman rotan akan menyebabkan murid menjadi lebih agresif kerana dendam akibat hukuman berkenaan.
Generasi 1970-an dan 1980-an mungkin sesuai dengan kegarangan guru, dan hukuman rotan untuk menjadikan mereka manusia berguna.
Murid-murid era baharu ini memerlukan pendekatan kasih sayang dan mendidik supaya mereka tidak terus menjauhkan diri daripada institusi pendidikan.
Paling penting, menerapkan asas pemikiran yang positif kerana daripada situ dapat menjadikan jati diri murid lebih kukuh.
Mereka juga perlukan khidmat kaunseling kerana kadangkala kesilapan itu mungkin sepenuhnya bukan daripada kesilapan mereka tetapi disebabkan faktor sekeliling yang menjadi penyumbang utama.
Pendekatan seumpama itu tidak bererti menjadikan murid-murid era moden ini lembik, sebaliknya menjadikan mereka lebih kreatif dan mungkin juga lebih berdaya saing.