Ikan kembung terlajak murah

Iklan

KUALA KEDAH - Harga ikan kembung didapati turun mendadak sehingga mencecah RM1 sekilogram berikutan lambakan bekalannya di pasaran sejak kira-kira tiga minggu lepas.

Tinjauan wartawan Sinar Harian di sekitar Kuala Kedah misalnya mendapati, harga ikan kembung cuma dijual antara RM1 dan RM5 sekilogram.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun situasi itu dilihat tidak menjejaskan peniaga ikan bahkan dalam kalangan mereka menyatakan syukur kerana dapat berkongsi rezeki dengan pelanggan berikutan harga ikan kembung segar yang begitu murah.

Menurut seorang peniaga di Pasar Nelayan Seberang Kota, Salmiah Ramli,57, harga ikan kembung sedang tidak menentu mengikut pendaratan ikan daripada nelayan setiap hari.

Iklan

"Dalam tempoh tiga minggu ini, harga ikan kembung pernah turun hingga mencecah RM1 sekilogram, tetapi untuk hari ini ia dijual sekitar RM2 sekilogram. Jika banyak pendaratan ikan, semakin murah harga ikan yang dijual di pasar ini bagi sekilogram ikan kembung.

"Adakala harga ikan naik sedikit apabila dijual sekitar RM10 untuk tiga kilogram (kg) atau RM10 untuk empat kilogram,"katanya ketika ditemui di Pasar Nelayan Seberang Kota di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, harga ikan kembung tidak pernah naik melebihi RM5 sekilogram berikutan bekalan ikan yang selalu banyak daripada nelayan.

"Alhamdulillah, saya mampu menjual dari 500 hingga 600 kilogram (kg) ikan kembung setiap hari, bermula dari jam 8 hingga 2 petang sebelum menyambung semula jualan bermula dari jam 5 petang hingga 9 malam,"katanya.

Menurutnya, ikan kembung segar sememangnya menjadi pilihan pembeli dan dia bersyukur bekalan ikan kembung segar yang banyak memudahkan semua pihak memperoleh rezeki masing-masing.

Sementara itu, Siti Aminah Ahmad @Lah, 45, berkata, dia pula mampu menjual sekitar 200 kilogram ikan kembung dan ada kala lebih daripada itu terjual.

"Sebelum ini, ikan kembung dijual antara RM10 dan RM12 sekilogram sebab kurang bekalan,tetapi sekarang harga ikan kembung murah apabila dijual RM10 untuk tiga kilogram atau RM10 untuk empat kilogram hingga kadang-kadang boleh dapat RM10 bagi lima kilogram sebab ikan memang banyak,"katanya.

Seorang lagi peniaga, Khadijah Md Shah, 45, pula berkata, sejak perayaan Tahun Baru Cina dia mampu menjual ikan kembung sehingga 500 kilogram setiap hari.

"Di sini, kebanyakan pelanggan berpeluang mendapatkan ikan kembung serendah RM2 untuk sekilogram kerana lambakan bekalan," katanya.

Katanya, dia gembira dengan kehadiran pelanggan yang tidak putus-putus untuk mendapatkan ikan kembung yang murah di pasar berkenaan.