'Saya hanya mahu beruk'

Iklan
Nasaruddin ketika melawat Matt Yusoff di kediamannya di Kampung Gong Beris, Marang setelah menerima berita kematian Mamat sejak tiga hari lalu.

MARANG -"Saya hanya mahu beruk untuk bantu petik kelapa". Itu permintaan seorang penduduk dari Kampung Gong Beris di sini yang menghidap masalah usus bocor sejak 10 tahun lalu demi kelangsungan hidup.

Permintaan untuk memiliki seekor beruk bagi kerja-kerja memetik kelapa itu dianggap unik dan jarang disuarakan.

Iklan
Iklan

Mat Yusoff Noh, 56, berkata, hasratnya menjadi kenyataan setelah dia mendapat bantuan seekor beruk yang digelar Mamat hasil sumbangan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang akhir Januari lalu.

Katanya, beruk berusia tiga tahun yang dibeli pada harga RM1,400 di Kampung Sungai Derhaka, Kuala Terengganu itu menepati ciri-ciri yang diidamkan sehingga mampu memberikan pulangan antara RM200 hingga RM300 sehari.

Iklan

Malah menurutnya, ada kalanya beruk itu mampu memetik sehingga 300 hingga 500 biji kelapa dalam sehari.

Mat Yusoff berkata, dia amat menyayangi haiwan itu walaupun dia sendiri pernah tiga kali digigit haiwan berkenaan.

Iklan

"Kehadiran Mamat memberi semangat baru dan mengubah nasib saya sekeluarga. Jika sebelum ini saya sudah putus asa kerana tidak mampu bekerja, Mamat beri sinar baharu buat saya.

"Banyak perubahan yang berlaku hasil 'jasa' Mamat. Saya mampu baiki kereta saya untuk digunakan bagi mengangkut kelapa untuk dipasarkan sekitar Kampung Kelulut dan Kampung Darat Pak Chan.

"Hasil kelapa yang dipetik Mamat saya mampu beli seekor lagi beruk berharga RM700 yang digelar Abu dari Tanah Merah, Kelantan. Saya juga mampu berbelanja lebih bagi barangan dapur dan keperluan keluarga," katanya.

Matt Yusof runsing kerana seekor beruk berusia empat tahun (Abu) dibeli hasil 'jasa' Mamat tidak pandai memetik kelapa sekaligus tidak membantunya dalam menjana pendapatan.

Bagaimanapun, panas yang disangka sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari.

Kehadiran Mamat yang menjadi sinar baharu buat Mat Yusoff hanya sementara selepas tahap kesihatan haiwan itu merosot dan mati sejak tiga hari lalu.

Katanya, hari terakhir sebelum mati haiwan kesayangannya yang dipelihara tidak sampai sebulan itu sempat memetik sekitar 20 biji kelapa dari dua pokok.

"Waktu naik pokok ketiga, dia jatuh dan mengeluarkan najis cair. Saya segera bawa pulang dan berikan penawar termasuk belikan ubat dari farmasi.

"Malangnya dia muntahkan semula ubat sebelum mati. Sedih memang sedih tapi saya pasrah, nak buat macam mana dah sampai ajal dia macam manusia juga.. tak tahu bila akan mati," katanya.

Lebih merunsingkan Mat Yusoff, beruk baharu (Abu) pula tidak pandai memetik kelapa dan memerlukan tempoh yang agak lama untuk dilatih.

"Saya tidak mahu bantuan lain, saya cuma mahukan beruk untuk membantu saya memetik kelapa kerana beruk yang ada sekarang tidak pandai dan tidak lincah seperti Mamat," katanya.

Sementara itu, Penyelia Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, perkembangan terbaharu itu dalam perhatian pihaknya dan akan berusaha untuk membantu meringankan bebanan keluarga itu terutama dalam membantu membaiki rumah mereka.

"Disebabkan beruk yang diberikan sebelum ini telah mati, kita akan cuba untuk latih dahulu beruk yang ada (Abu) supaya boleh memetik kelapa.

"Kita juga akan berusaha membantu segera bagi membina bilik air untuk rumah ini yang mana kelihatan amat daif dan tidak berdinding," katanya.