MELAKA - Seorang lelaki di sini mengaku dirinya mempunyai kaitan dengan kerabat diraja serta pemilik sebenar Kerajaan Malaysia.
Individu bernama Ahmad Abdul Kadir Ismail, 46 tetapi mengelarkan dirinya sebagai Sultan Sheikh Ahmad Abdul Kadir Iskandar D'zulkarnain mendakwa memiliki seluruh kekayaan di negara ini.
Malah Ahmad Abdul Kadir berkata, dia turut mempunyai harta kekayaan dan wang tunai berjumlah bertrilion dolar di beberapa negara termasuk di Hong Kong, China, Kemboja, Bangladesh dan Thailand.
"Saya dalam proses untuk mengambil alih negara ini. Biarpun hakikatnya sudah diambil alih namun kini baharu saya menguar-uarkannya. Cuma masalahnya ia dinafikan oleh politik di negara ini sejak dahulu."Saya sudah bergerak menuntut hak saya sejak lima tahun lalu iaitu semenjak Oktober 2013 malah pernah menyatakan hasrat untuk menemui kesemua raja-raja di negara ini serta Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad namun tidak dilayan," katanya dalam sidang media itu yang turut diiringi beberapa pengikut di sebuah inap desa di Sungai Rambai, hari ini.
Beliau turut mengadakan majlis suai kenal bersama puluhan mengikut termasuk dihadiri kerabat diraja.
Ahmad Abdul Kadir yang menetap di rumah keluarga mertua di Sungai Rambai sejak lima tahun lalu berkata, beliau ada menyimpan banyak alat kebesaran terutama keris kebesaran di raja termasuk Keris Sempena Riau, Keris dari Bukit Siguntang, Pedang Hang Li Poh, Jade Tujuh Naga, Pedang Cheng Ho dan pinggan di zaman Dinasti Ming.
Dakwanya lagi, kesemua sultan dan ahli politik di negara ini sudah hilang status kerakyatan dan mendakwa pernah mengambil tindakan saman terhadap Kerajaan Malaysia berikutan kuasa yang ada kini sebagai tidak sah.
"Saya tidak perlu ditabalkan sebagai sultan sebab saya sudah tersedia menjadi sultan. Saya berasal dari Kuala Kangsar, Perak namun mempunyai lebih ramai pengikut di sebelah selatan negara ini.
"Saya juga adalah simbol semua bangsa meliputi Melayu, Cina, India, Arab serta Yahudi. Saya adalah tuan punya negara Malaysia atau Tanah Melayu," katanya.
Tambahnya lagi, kewujudannya adalah bertujuan untuk seluruh rakyat Malaysia dan dunia bagi mengembalikan kegemilangan negara, bangsa dan agama.
"Apa yang saya perjuangkan adalah bukan untuk diri saya sendiri tetapi adalah untuk semua rakyat di negara ini.
"Saya hanya menuntut hak saya dan bukannya hak orang lain," katanya.[ARTIKEL BERKAITAN: Serah kepada pihak berkuasa: Adly]