KUALA LUMPUR - Semua pihak digalakkan untuk memperhebatkan lagi penglibatan orang kurang upaya (OKU) dalam program yang dianjurkan agar golongan berkenaan dapat mengasah potensi dan membuktikan kemampuan sebenar diri mereka.
Penulis buku Kembara Merangkak Puncak, Adam Khan mengakui golongan OKU di Malaysia sangat beruntung kerana kerajaan sentiasa prihatin dengan keterbatasan mereka dan prasarana yang disediakan juga dilihat mendahului negara-negara ASEAN yang lain.
Namun, Adam mengharapkan kemudahan yang disediakan itu tidak dianggap sebagai sekadar tanggungjawab, sebaliknya perlu menjadikannya sebagai platform untuk dicontohi negara yang lain.
"Saya amat berterima kasih kepada kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan kemudahan kepada golongan OKU, namun pihak yang berkaitan perlu melibatkan OKU itu sendiri sebagai sebahagian daripada kerjasama mereka.
"Kita tidak mahu golongan OKU hanya sekadar menerima semata-mata sedangkan mereka juga mempunyai potensi menyumbang kepada masyarakat, malah dapat membantu menaikkan nama sesebuah negara," katanya kepada Sinar Harian selepas pelancaran buku pertamanya itu di Menara Kuala Lumpur di sini semalam.
Sementara itu, Adam yang merupakan OKU pertama berjaya sampai ke Everest Base Camp di Nepal pada April 2018 turut mengakui sangat teruja kerana dapat bersama dengan rakan-rakan yang senasib untuk menyertai program Towerthon Merangkak Puncak yang julung kali diadakan itu.
Menurutnya, walaupun penat tetapi pengalaman itu tidak ternilai buat mereka untuk membuktikan bahawa dalam apa juga keadaan sekalipun mereka mampu menamatkan pendakian sebanyak 2,058 anak tangga di Menara Kuala Lumpur.
"Mereka yang sempurna fizikal pun ada yang gagal sampai ke puncak, jadi ia bermaksud bahawa semua orang adalah sama cuma keupayaan berbeza dan itulah yang kami cuba buktikan pada program ini," katanya.
Mengulas mengenai buku Kembara Merangkak Puncak, Adam berkata, ia adalah buku pertamanya yang menceritakan kisah kehidupannya yang boleh dijadikan inspirasi, bukan sahaja kepada golongan OKU tetapi juga insan yang normal.