TANAH MERAH - Tiga beradik berbangsa Cina bangun seawal jam 5 pagi kerana tidak sabar untuk menyertai Majlis Khatan Perdana 2025 di Hospital Tanah Merah (HTM) pada Khamis.
Tan Xavier, 12, Tan Xaden, 11, dan Tan Xarel, 8, tiba seawal jam 8 pagi di hospital berkenaan dan teruja menikmati pulut kuning serta mandi air semburan dari kenderaan bomba.
Ibu mereka, Tan Bee Kam, 40, berkata, ketiga-tiga anaknya itu meminta untuk berkhatan tanpa paksaan kerana pernah mendengar cerita daripada rakan-rakan mereka beragama Islam.
"Ramai ahli keluarga kami yang berkhatan kerana bertujuan menjaga kesihatan dan kebersihan," katanya ketika ditemui selepas perasmian majlis berkenaan.
Bee Kam memberitahu, mereka mengambil peluang berkhatan kerana diadakan secara percuma yang secara tidak langsung dapat mengurangkan beban kewangannya.
Katanya lagi, sebelum ini dia dimaklumkan kos berkhatan di hospital swasta dan klinik di sekitar bandar itu ialah sebanyak RM180 seorang dan jumlah itu agak tinggi untuk keluarganya kerana suami, Tan Wee Lee hanya bekerja sebagai mekanik.
"Saya mendapat tahu daripada rakan sekampung yang memaklumkan mengenai program berkenaan dan terus mendaftarkan ketiga-tiga anak kami," katanya.
Program dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin dan turut dihadiri Pengarah Hospital Tanah Merah, Dr Mohd Nasir Abdul Kadir.
Ibu kepada empat anak itu juga akan memberi sokongan kepada anak-anaknya dalam tempoh berpantang dan memastikan pemakanan yang baik supaya cepat sembuh.
Sementara itu, Dr Zaini berkata, seramai 50 kanak-kanak menyertai program berkhatan dengan kerjasama Kelab Sukan Dan Kebajikan HTM.
Jelas Dr Zaini, berkhatan sangat dituntut dalam Islam dan sudah menjadi norma biasa dalam kalangan masyarakat termasuk bukan Muslim.
"Berkhatan dapat mengurangkan kadar penyakit kelamin pada lelaki, melindungi individu daripada kanser zakar dan mengurangkan risiko kanser serviks bagi pasangan wanita dan mencegah balanitis dan balanoposthitis," katanya.