BENTONG - Seorang jurutera warga Indonesia maut akibat terkena bilah kipas helikopter yang terbalik sebelum terbakar ketika melakukan pendaratan di Batu 9, Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa, Finsen Reskey Sembiring, 27, maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam nahas itu, juruterbang tidak mengalami sebarang kecederaan namun telah dirujuk ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan lanjut.
"Helikopter jenis Bell 206L4 yang terbakar musnah sepenuhnya," katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan kejadian kerana kes masih dalam siasatan.
Sebelum ini, Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, berdasarkan laporan saksi di tempat kejadian helikopter itu dipercayai melakukan pendaratan di lokasi untuk tujuan pengisian bahan bakar.
Menurutnya, ketika berada di darat semasa melakukan pendaratan, helikopter itu dipercayai hilang kawalan lalu terbalik sebelum terbakar.
"Mangsa yang berada di kawasan pendaratan maut dipercayai terkena bilah kipas.
"Susulan maklumat diterima Pusat Gerakan Operasi (PGO) berhubung kejadian, sepasukan anggota ke lokasi bersama satu jentera Fire Rescue Tander (FRT) untuk bantuan menyelamat dan memadam kebakaran," katanya.
"Tindakan operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba," katanya.