MANILA - Polis Kebangsaan Filipina (PNP) semalam membatalkan satu arahan kontroversi yang didakwa bersifat Islamofobia.
PNP sebelum ini mengarahkan komander stesen di Manila supaya menyenaraikan setiap nama pelajar sekolah tinggi dan universiti yang beragam Islam sebagai sebahagian daripada usaha membendung ekstremisme.
Namun, notis yang dikeluarkan pada 31 Januari lalu dianggap keterlaluan dan mendiskriminasikan umat Islam di Manila.
Ketua Polis Metro Manila, Mejar Jeneral Debold Sinas menafikan tuduhan itu sebaliknya berkata, arahan tersebut sekadar prosedur biasa.
"Saya telah mengarahkan Ketua Polis Daerah, Bernabe Mendoza Balba supaya menarik balik notis tersebut.
"Arahan itu bukan menyasarkan umat Islam. Kami cuma mahu mengumpul statistik pelajar Muslim seperti diminta Pusat Salaam iaitu unit polis beragama Islam,” katanya.
Tambah Sinas, pihaknya tidak berniat mencetuskan kegelisahan dalam kalangan penduduk beragama Islam di bandar raya tersebut.
Katanya, PNP akan mengadakan sesi dialog dan perjumpaan dengan komuniti Islam bagi menjelaskan keadan sebenar. - Agensi