BENTONG - Polis telah merekod keterangan dua lelaki yang juga saksi kejadian helikopter terhempas di Batu 9, Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, dua saksi itu merupakan warga tempatan yang bertugas di lokasi terbabit.
"Dalam kejadian itu, seorang saksi utama berusia 38 tahun bertindak menyelamatkan juruterbang helikopter terbabit.
"Setakat ini, dua saksi di lokasi telah kita ambil keterangan untuk membantu siasatan," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini pada Khamis.
Sebelum itu, Sinar Harian dimaklumkan juruterbang terbabit telah diselamatkan salah seorang saksi terbabit dengan cara menarik keluar.
Difahamkan, pengawal keselamatan terbabit telah berlari ke arah helikopter selepas helikopter itu terhempas dan terbakar di tapak pendaratan.
Dalam keadaan helikopter yang sedang terbakar dikatakan, pengawal keselamatan terbabit menarik keluar juruterbang yang sudah membuka tali pinggang keledar yang dipakainya ke kawasan selamat.
Difahamkan, syarikat mangsa ini dilaporkan melakukan kerja-kerja pengangkutan kabel untuk kerja-kerja penyelenggaraan tapak projek milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bentong.
Selain itu, lokasi nahas yang juga tapak perkhemahan dilaporkan disewa untuk penempatan helikopter dan tempat pengisian minyak sejak enam hari lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, helikopter pengangkut jenis Bell 206L4 Long Ranger, dilaporkan terhempas pada ketinggian kira-kira 0.9 meter selepas melakukan penerbangan dari tapak projek TNB sejauh 16 kilometer.
Juruterbang dikenali sebagai Kustiyadi, 44, manakala jurutera yang terkorban atau marshall pendaratan dikenali sebagai Finsen Resky Sembiring, 27.