JOHOR BAHRU - Seorang lelaki sempat menyelamatkan diri sebelum kereta yang dipandunya terbakar setelah terbabas di Taman Rinting di sini pada petang Khamis.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penguasa Bomba Kanan 1 Khas Untuk Penyandang (KUP), Sharol Suboh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 1.45 tengah hari.
Menurutnya, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan tiga jentera; Fire Rescue Tender (FRT), Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS), Rapid Intervention Motorcyle (RIM) serta 12 anggota dihantar ke lokasi.
"Setibanya ke lokasi, PKO mendapati kebakaran membabitkan sebuah kereta di kawasan tersebut.
"Kebakaran dipercayai bermula selepas impak perlanggaran, menyebabkan kenderaan terbakar dengan cepat.
"Operasi pemadaman kemudiannya dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air dari tangki pam jentera,” katanya.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut kerana pemandu kereta berjaya keluar sebelum pasukan bomba tiba ke lokasi.
Api berjaya dikawal sepenuhnya dalam masa 30 minit dan operasi ditamatkan pada jam 2.21 petang.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.