100 OKU tawan Menara KL

Iklan
Peserta, pihak penganjur dan penaja bergambar bersama pada program Towerthon Merangkak Puncak di Menara Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Seramai 100 orang kurang upaya (OKU) berjaya menawan Menara Kuala Lumpur selepas mendaki sebanyak 2.058 anak tangga pada program Towerthon Merangkak Puncak anjuran Karangkraf dan Buku Pojok semalam.

Ketua Pegawai Operasi merangkap Ketua Pengarang Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, program julung kali diadakan itu turut mencipta sejarah tersendiri dengan menghimpunkan ramai OKU untuk melakukan aktiviti sosial bersama penulis buku Kembara Merangkak Puncak, Adam Khan atau lebih dikenali sebagai Siswa Labah-Labah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program tersebut adalah inspirasi Adam Khan yang merupakan individu OKU pertama berjaya sampai ke Everest Base Camp, Nepal dan buku berkaitan kejayaannya itu dilancarkan secara rasmi semalam.

"Semangat dan kejayaannya wajar dijadikan inspirasi, bukan sahaja dalam kalangan OKU, malah mereka yang sempurna fizikal agar tidak mudah berputus asa dan sentiasa mencabar diri untuk melangkaui batasan potensi diri.

Iklan

"Pada awalnya beliau mendapat tentangan yang hebat termasuk daripada ahli keluarganya, namun kesungguhan dan iltizam yang tinggi mendorongnya untuk berjaya sampai ke puncak.

"Ia sangat memberi inspirasi dan kita berharap masyarakat tidak menyisihkan golongan OKU," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Iklan

Hadir sama, Penguasa Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Muhammad Ridhwan Kamaruzaman dan Pengurus Keselamatan Menara Kuala Lumpur, Siti Munirah Sharif.

Mengulas lanjut, Firdaus mengakui, program Towerthon Merangkak Puncak menjadi contoh yang jelas bahawa walaupun kekurangan fizikal tetapi keazaman dan semangat juang tinggi membuktikan golongan OKU boleh menawan Menara Kuala Lumpur kerana bukan semua individu boleh melakukannya.

Menurutnya, lebih mengagumkan apabila penyertaan itu melibatkan pelbagai kategori OKU termasuk masalah penglihatan, pendengaran, fizikal, masalah pembelajaran, autisme, pertuturan dan sindrom down.

"Sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Insya-ALLAH kita akan menganjurkan pelbagai aktiviti seumpama ini melibatkan golongan OKU.

"Terima kasih kepada rakan penaja yang turut mengaktifkan program ini, antaranya penaja lokasi, Menara Kuala Lumpur dan penaja strategik iaitu Yayasan Nur, AirAsia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mydin, Bubbles, MBH Medispa, Ookbee dan Miezlicious Kitchen," kata beliau.