PHNOM PENH – Tindakan yang dilakukan oleh YouTuber terhadap monyet liar telah menyebabkan haiwan itu menjadi agresif dengan menyerang pengunjung, merosakkan binaan kuil dan papan maklumat di kompleks Angkor Wat yang terkenal di Kemboja, kata pegawai, pada Rabu.
Agensi yang mengendalikan tapak tersenarai UNESCO itu memberi amaran kepada pengunjung supaya menjauhi kumpulan monyet ganas yang semakin meningkat tinggal di sekitar kompleks runtuhan luas dan telah menggigit pengunjung.
Iklan
Iklan
Monyet itu berasal dari hutan rimbun yang mengelilingi Angkor Wat, tetapi Pihak Berkuasa Kebangsaan Apsara berkata, interaksi manusia terutamanya oleh orang yang merakam kandungan untuk disiarkan dalam talian telah mengubah tingkah lakunya.
Sebilangan YouTuber juga kerap memberi makan monyet untuk mencipta kandungan video dan ia telah menukar tingkah laku semula jadi monyet daripada haiwan liar kepada haiwan domestik yang agresif, mencuri makanan dan menyebabkan kecederaan dalam kalangan manusia.
Jurucakap Pihak Berkuasa Kebangsaan Apsara, Long Kosal berkata kepada AFP, selain bahaya yang ditimbulkan kepada pengunjung, agensi itu semakin bimbang tentang monyet yang merosakkan binaan batu berusia ratusan tahun itu. -AFP