KKDW tawar 529 program TVET

Iklan
KKDW tawar 529 program pendidikan dan TVET di 280 institusi di bawahnya. Foto hiasan

PUTRAJAYA - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menawarkan 529 program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di 280 institusi di bawahnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, program tersebut bermula di peringkat sijil kemahiran hingga ijazah kedoktoran dan meliputi 15 kluster bidang kritikal untuk memenuhi pasaran kerja semasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerangka sistem pendidikan TVET KKDW telah melahirkan ramai tenaga mahir, profesional, teknologis dan usahawan yang berjaya.

"Kadar kebolehpasaran graduan TVET KKDW mencapai 98 peratus pada tahun 2024 sekali gus membuktikan bahawa TVET bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan yang luas, tetapi juga mampu membentuk masa depan lebih cerah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, 402,956 pelajar yang menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini mempunyai peluang luas untuk meneroka TVET sejajar dengan minat dan kecenderungan masing-masing.

"Peluang menyambung pengajian dalam TVET terbuka sepanjang tahun dengan pelbagai pilihan fleksibel melalui Sistem UP_TVET. UP_TVET Flexi, yang dibuka sejak Januari 2025, membolehkan individu mengikuti latihan kemahiran secara modular dan anjal, mengikut kesesuaian jadual masing-masing.

Iklan

"UP_TVET Perdana bagi Kursus Sepenuh Masa Ambilan Julai 2025 pula akan dibuka untuk permohonan pada April 2025," jelas Ahmad Zahid.

Tambahnya, kerajaan komited dalam memastikan akses pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti kepada semua lapisan masyarakat.

"Oleh itu, saya menyeru para pelajar dan ibu bapa agar merebut peluang ini untuk membina kerjaya yang mampan dan berdaya saing," katanya.