PETALING JAYA – Penduduk kedua yang menemui jasad Zayn Rayyan Abdul Matin di aliran anak sungai memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis bahawa, dia menyangka kanak-kanak autisme itu hilang kerana disorok hantu.
Saksi pendakwaan ketujuh, Ahmad Nur Syaruddin Mad Zawawi, 36, berkata demikian ketika sesi pemeriksaan balas oleh peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 30 dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30.
Dia yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di sebuah syarikat pengangkutan berkata, dia percaya dengan unsur-unsur mistik seperti hantu dan syaitan.
Peguam: Jadi kamu percaya ada unsur-unsur mistik dalam penemuan jasad Zayn Rayyan?
Ahmad: Maksud saya bukan mengenai penemuan jasad, tapi perkara pertama saya yang saya fikir ketika awal kehilangan kanak-kanak lelaki itu, Zayn Rayyan telah disorok hantu.
Sebelum itu, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, saksi ini berkata, dia mula mengikuti operasi mencari kanak-kanak hilang berkenaan, selepas pulang dari kerja pada jam 9.30 malam, 6 Disember 2023 lalu.
Ahmad berkata, empat ke lima rakannya turut serta dalam operasi berkenaan, telah bergerak secara berkumpulan ke lokasi kejadian.
Pendakwaan: Kenapa kamu jalan ke kawasan itu, siapa yang maklumkan mengenai lokasi terbabit?
Ahmad: Tidak siapa maklumkan mengenainya, kami cuma fikir ada unsur mistik.
Pendakwaan: Bagaimana pula dengan cara pencarian?
Ahmad: Saya guna lampu suluh di pokok, semak dan aliran anak sungai, ketika itu seorang lagi penduduk, dikenali sebagai Abang Faizul bergerak tidak jauh dari lokasi saya berada.
Pendakwaan: Kemudian apa yang berlaku?
Ahmad: Abang Faizul cakap dah jumpa jasad, lalu dia turun ke anak sungai, saya juga terjun ke aliran air itu.
Pendakwaan: Tadi kamu kata, ramai orang mula penuhi kawasan itu, selepas itu apa yang berlaku?
Ahmad: Datuk arwah datang kata nak tengok dan pegang Zayn Rayyan, masa itu jasad dah ditutup dengan baju tebal, selepas itu dia suruh panggil bapa arwah tapi dia menjerit.
Pendakwaan: Kamu ingat apa yang dia katakan?
Ahmad: Tak pasti, sebab banyak sangat, dia macam mencarut.
Saksi ini juga berkata, pihak polis kemudiannya tidak memberi kebenaran untuk mendekati di lokasi berkenaan kerana Zaim mula meracau.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya, jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh bersambung Jumaat.