PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan segelintir pemberi maklumat membuat pendedahan umum salah laku sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa boleh menyebabkan individu yang terlibat dihukum secara tidak adil.
Beliau berkata, tindakan berkenaan juga menafikan hak untuk siasatan yang adil serta peluang untuk membela diri sekali gus boleh mengganggu siasatan yang dijalankan.
"Pada masa ini, undang-undang (membenarkan) perkara ini kerana setiap individu boleh mendakwa bahawa mereka mendedahkan kebenaran.
"Namun begitu, anda telah ‘menghukum’ individu itu sebelum kes itu disiasat atau sebelum mereka diberikan peluang untuk memberi penjelasan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan merancang untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi memberi perlindungan kepada individu yang membuat pendedahan umum sebelum membuat laporan kepada agensi penguat kuasa.
Anwar, bagaimanapun berkata kerajaan sedang meneliti perkara terbabit, dengan menyatakan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mempunyai draf cadangan penambahbaikan berkenaan. - Bernama