Bank Islam lancar Kempen Pembiayaan Mega 2025, hargai pelanggan setia

Iklan
Mizan (dua dari kanan), Anuar Amin (kiri) dan Ketua Jabatan Sokongan, Pengedaran Perbankan Runcit Bank Islam Malaysia Berhad, Zulkipli (kanan) melancarkan Kempen Pembiayaan Mega 2025 yang diadakan pada Khamis.

BANK Islam Malaysia Berhad melancarkan Kempen Pembiayaan Mega 2025 sebagai usaha menghargai pelanggan setia yang telah menyokongnya dalam produk pembiayaan Peribadi-i, Rumah-i dan Kenderaan-i Bank Islam.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan, Perbankan Runcit Bank Islam Malaysia Berhad, Mizan Masram berkata, kempen tersebut telah bermula pada 1 Januari hingga 31 Disember 2025.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kempen itu menawarkan hadiah utama berupa dua buah kenderaan elektrik pertama Malaysia, e.MAS 7, seorang pemenang bertuah akan dipilih melalui cabutan pada setiap setengah tahun dan pelbagai hadiah sampingan menarik kepada pelanggan bertuahnya.

Mizan (tengah) bergambar bersama pemenang pada majlis Penyampaian Hadiah Kempen Pembiayaan Peribadi-i Profesional 2024 dan Kempen Pembiayaan Mega 2024 yang diadakan pada Khamis.

"Kempen ini bukan sekadar menawarkan penyelesaian pembiayaan biasa tetapi turut memberikan ganjaran serta peluang untuk memenangi pelbagai hadiah termasuk dua buah kereta elektrik pertama Malaysia.

Iklan

"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang Kempen Pembiayaan Mega 2024 dan Kempen Pembiayaan Peribadi-i Profesional 2024 serta berharap kejayaan ini akan terus menggalakkan penyertaan dalam kempen yang akan datang,” katanya ketika melancarkan Kempen Pembiayaan Mega 2025 di Great Hall, W Hotel pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Aset Runcit Bank Islam Malaysia Berhad, Anuar Amin Ayob dan Ketua Jabatan Sokongan, Pengedaran Perbankan Runcitnya, Zulkipli Mohamad Zen.

Iklan

Dalam pada itu, Mizan berkata, sejak pelaksanaan Kempen Pembiayaan Mega 2024 itu, Bank Islam telah mencatatkan peningkatan 27 peratus dalam permohonan pembiayaan yang diterima dan diluluskan sepanjang separuh pertama 2024 berbanding tempoh sama pada 2023.

Jelasnya, perkara tersebut menunjukkan lebih ramai pelanggan kini memilih Bank Islam sebagai pilihan utama untuk produk pembiayaan patuh syariah, selain menunjukkan kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatannya.

"Penganjuran ini adalah inisiatif kami untuk menghargai pelanggan setia atas kepercayaan yang diberikan disamping memberikan lebih banyak manfaat kepada mereka.

"Kami terus berusaha untuk mempromosikan produk pembiayaan Bank Islam patuh syariah, menawarkan pelanggan pilihan pembiayaan yang mengikuti prinsip Islam dan pada masa sama memenuhi keperluan kewangan mereka,” ujarnya.

Mizan (tengah) bergambar pada majlis Kempen Pembiayaan Mega 2025 yang diadakan pada Khamis.

Beliau turut mengingatkan pelanggan supaya sentiasa berwaspada terhadap laman web dan akaun media sosial palsu yang memaparkan pelbagai kempen Bank Islam.

"Bank Islam tidak pernah meminta butiran peribadi melalui laman web atau akaun media sosial bagi sebarang kempen kami. Pemenang akan dipilih berdasarkan produk yang mereka langgan daripada saluran rasmi Bank Islam,” katanya.

Program pada Khamis itu adalah untuk meraikan 14 pemenang daripada dua kempen iaitu Kempen Pembiayaan-i Mega 2024 dan Kempen Pembiayaan Peribadi-i Profesional 2024 yang berlangsung sepanjang suku ketiga serta keempat.

Bagi pelanggan Bank Islam yang berminat dan ingin menyertai Kempen Pembiayaan Mega 2025 boleh melayari https://www.bankislam.com/2025-mega-campaign/ untuk maklumat lanjut serta permohonan.