SHAH ALAM - Penyanyi rap, Caprice mendakwa kejadian tular mengenai kehilangan pempengaruh ketika melakukan aktiviti paranormal di sebuah hutan di Bandung, Indonesia ialah palsu.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli menerusi Instagramnya pada Khamis berkata, konten yang dibuat oleh ‘talent agency’ atau agensi yang menguruskan beberapa pelakon terlibat dalam aktiviti tersebut adalah rekaan semata-mata.
"Jelas, palsu...talent agency yang ada uruskan beberapa pelakon dalam video itu confirm kan, ia palsu...Sudah lah tidak dapat bayaran? Betul lah orang lama selalu kata, ‘bodoh’ adalah percuma. Tetapi jangan lah sampai borong semua,” katanya.
Sebelum ini, pempengaruh media sosial dikenali sebagai Eyka yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu di dalam hutan di Bandung, Indonesia ditemukan selamat pada malam Rabu.
Gadis berusia 22 tahun itu dijumpai kira-kira jam 10 malam dan penemuannya dikongsikan menerusi penstriman langsung TikTok @Arasz.
Bagaimanapun, pempengaruh, Ammar Nazhan atau Ammar Nazhan Noralyadi, 29, berkata, dia tampil mempertahankan kejadian yang berlaku susulan ada dakwaan mengatakan perkara tersebut adalah palsu.
Dia menjelaskan, kejadian diganggu dengan perkara mistik di kediaman yang dihuni adalah benar sehingga membuatkan mereka terpaksa berpindah ke tempat lain.
"Saya beritahu kepada pihak luar dan kepada orang ramai di luar sana, bahawa talent agency hanyalah tandatangan kontrak dengan talent saya di sini semua berkenaan dengan kerja sahaja, kejadian di sini berlaku dengan betul dan tak ada unsur kepalsuan.
"Kepentingan kami hanya fokus kepada kesihatan Eyka kerana dia agak murung selepas kejadian ini. Jaga sensitiviti dan percakapan terhadap Eyka dan keluarganya,” katanya.
Dalam pada itu, Ammar Nazhan turut menegaskan bahawa pelakon agensi tidak sepatutnya bersuara kerana mereka tidak mengetahui berkenaan kejadian yang berlaku.
"Benda ini boleh jadi satu fitnah, kepada pihak luar saya mohon maaf kalau ada salah faham,” ujarnya.