SHAH ALAM - Sekretariat Rakyat Benci Rasuah (SRBR) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lapan aktivis mahasiswa, hanya kerana duduk dan memberi sokongan kepada rakan mereka yang memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Khamis.
Setiausahanya, Muhammad Zaim Zulkifli Ariff juga mendakwa, polis telah mengugut tidak mahu melepaskan aktivis yang sedang disoal siasat jika mereka enggan bersurai daripada bersolidariti.
Muhammad Zaim berkata, mereka bukan hanya ditahan, malah ditengking dan diugut anggota polis terbabit.
"Kami ditahan, ditengking dan diugut polis. Ini adalah tindakan melampau. Kami tidak takut untuk membuat ‘laporan polis’ dan sampaikan aduan kami kepada IPCC (Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis).
"Polis telah bertindak secara keras dan melulu terhadap aktivis mahasiswa yang memperjuangkan kebenaran," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan polis akan memanggil 10 aktivis terbabit dengan Himpunan Rakyat Bebas Rasuah pada 25 Januari lalu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Terdahulu, Himpunan Rakyat Benci Rasuah diadakan pada minggu lalu dihadiri kira-kira 200 peserta dan kesemua mereka berarak dari pusat beli-belah terkemuka ke Dataran Merdeka.
Tiga tuntutan utama mereka ialah pertama adalah menggesa kerajaan menyegerakan pemisahan Pejabat Peguam Negara (AGC) daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Tuntutan kedua pula meminta kerajaan 'membebaskan' Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada kuasa eksekutif dengan meletakkan entiti itu di bawah Parlimen dan seliaan rakyat. Ketiga, menggesa kerajaan menyegerakan Akta Pendanaan Politik di negara ini.
Justeru, Muhammad Zaim menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya memantau tindakan PDRM yang menahan aktivis yang tidak bersalah.
"Kami mengutuk tindakan polis menidakkan hak aktivis dan mengugut kami yang menuntut perubahan demi negara ini," katanya.