SHAH ALAM - Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (Aksi) mengecam sekeras-kerasnya tindakan polis menahan lapan aktivis yang datang untuk memberi sokongan kepada seorang rakan mereka yang dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada Khamis.
Ketuanya, Danny Villenguez Mohd Amani menyifatkan tindakan itu sebagai satu perbuatan penyalahgunaan kuasa dengan pihaknya akan membuat satu laporan polis dalam masa terdekat.
Beliau juga mendakwa lapan individu terbabit turut dipaksa memberi keterangan tanpa sebarang notis oleh pegawai polis dari IPD Wangsa Maju ketika sedang berkumpul di pekarangan balai polis terbabit.
"Mereka ditahan kerana berkumpul dan mengiringi saudari Hani (seorang aktivis mahasiswa) yang dipanggil memberi keterangan kepada polis di IPD Wangsa Maju kali kedua selepas terbabit dengan perhimpunan aman membela nasib Palestin baru-baru ini.
"Bagi saya tindakan polis memanggil saudari Hani sekali lagi untuk memberi keterangan atas tindakan kami berhimpun untuk menyatakan sokongan kepadanya di IPD Wangsa Maju pada Disember lalu, memang mengarut dan tidak masuk akal," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Danny Villenguez mendakwa polis juga mengarahkan semua lapan individu terbabit menyerahkan kad pengenalan masing-masing, sebelum dipanggil memberi keterangan dalam bilik soal siasat.
"Saya dan tiga lagi individu tidak dipaksa memberi keterangan kerana berada di luar IPD Wangsa Maju ketika kejadian.
"Kamu kena tengok (rakaman video) mereka kena panggil memberi keterangan tanpa notis atau waran. Polis tidak menyatakan sebab mereka ditahan tetapi mereka kena paksa masuk (ke balai polis).
"Seorang pegawai polis berpangkat Asistan Superintenden (ASP) juga mengugut sekiranya kami tidak menyerahkan kad pengenalan maka kami akan ditahan," dakwanya.
Beliau mendakwa, semua lapan individu yang menyerahkan kad pengenalan masing-masing kemudian dipaksa masuk ke balai polis untuk memberikan keterangan selama lebih dua jam.
"Polis juga enggan memberikan kerjasama apabila ditanya siapa yang memberi arahan kepada mereka untuk berbuat demikian atau pegawai penyiasat kes terbabit.
"Susulan itu, kami terpaksa memanggil beberapa aktivis lain termasuk dari Suara Rakyat Malaysia (Suaram) untuk membantu membebaskan lapan individu berkenaan," katanya lagi.