Mohd Khairuddin bantu mangsa kemalangan di LPT2

Iklan
Tangkap layar video Mohd Khairuddin bantu mengangkat beg mangsa kemalangan.

KEMAMAN - Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menghulurkan bantuan kepada seorang pemandu kereta yang terlibat kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sebelum susur keluar Kemasik dari arah Kuantan pada Jumaat.

Kejadian itu berlaku ketika beliau dalam perjalanan untuk pulang berkuliah mingguan pagi Jumaat di Seberang Takir, Kuala Nerus.

Iklan
Iklan

Peristiwa itu dikongsikan Mohd Khairuddin melalui Facebook rasminya yang memaparkan video durasi sembilan saat menunjukkan beliau sedang mengangkat beg dan bagasi yang dipercayai milik mangsa kemalangan tersebut.

Dalam hantaran itu, Mohd Khairuddin memaklumkan beliau akan menghantar barangan penting milik mangsa terbabit kepada keluarganya.

Iklan

Menurutnya, mangsa kemalangan tersebut merupakan anak muda dari Kampung Banggul Peradong, Kuala Terengganu.

"Punca (kemalangan) kerana mahu mengelakkan binatang yang tercampak dari laluan sebelah akibat dilanggar oleh kereta lain sejurus sebelum itu.

Iklan

"Kesannya kereta itu terbalik dan kepalanya (mangsa) sedikit cedera sebelum dibawa ke hospital Kemaman sebentar tadi.

"Saya ditakdirkan lalu untuk pulang berkuliah mingguan pagi Jumaat di Seberang Takir sejurus selepas kejadian. Saya diminta menyimpankan barang-barang penting mangsa untuk dititipkan pada keluarga," katanya di Facebook.

Mohd Khairuddin turut mendoakan supaya mangsa kemalangan tersebut diberi kesembuhan segera.

"Moga ALLAH segerakan kesembuhan beliau dan gantikan yang lebih baik atas musibah ini," ujarnya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhammad Wan Ja'afar ketika dihubungi memberitahu pihaknya setakat ini belum menerima laporan berhubung kejadian tersebut.