JOHOR BAHRU - Cadangan penyelesaian projek jejambat Meridin East Pasir Gudang yang terbengkalai sejak 2021, dikemukakan kerajaan Johor kepada Persekutuan bagi mengurangkan kesesakkan trafik di Pasir Gudang.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara terbabit telah dibincangkan dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sewaktu kunjungan hormatnya bersama delegasi kerajaan negeri pada Rabu.
"Penyelesaian projek jejambat Meridin East Pasir Gudang yang terbengkalai sejak 2021 itu antara perkara yang dibincangkan selain beberapa projek insfrastruktur lain.
"Kerajaan Johor turut mengemukakan beberapa cadangan penyelesaian di mana langkah ini bakal membuka akses dua hala ke Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) serta mengurangkan kesesakan trafik di Pasir Gudang.
"Kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan komited untuk memastikan semua projek infrastruktur di Johor disiapkan mengikut garis masa yang ditetapkan, termasuk memastikan penyuraian trafik dapat dilaksanakan sepanjang tempoh pelaksanaan projek berjalan lancar.
"Besar harapan kami supaya segala permohonan dapat dipertimbangkan demi memastikan Johor terus maju sebagai negeri yang berdaya saing dan makmur," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas keprihatinan meluluskan peruntukan untuk pembangunan infrastruktur kepada negeri ini.
"Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya telah meluluskan peruntukkan RM263 juta bagi Johor pada tahun ini.
"Pertemuan saya bersama Menteri Kerja Raya serta delegasi kerajaan negeri itu adalah bagi membincangkan hala tuju pembangunan infrastruktur Johor.
"Menerusi perbincangan berkenaan, beberapa isu dan perkara yang menjadi keutamaan Johor turut telah dibangkitkan termasuk projek hotspot banjir di Johor, projek pembangunan, serta penyelenggaraan jalan Persekutuan dan jalan susur," katanya.