KUALA LUMPUR - Tidak kira walau di mana kita berada malah, ketika sedang menunggu lampu isyarat, gunakan peluang beberapa minit itu untuk membaca surah mudah yang dihafal.
Malah membaca al-Quran itu bukan dikira selepas membaca keseluruhan ayat atau surah, tetapi setiap huruf itu ganjarannya 10 pahala.
Perkara sama turut dilakukan oleh seorang warga emas apabila gelagatnya menjadi perhatian ramai dan tular di laman media sosial sejak Khamis.
Momen itu telah dirakam oleh pemandu lain yang turut berada di lokasi yang sama.
Menerusi video dikongsi oleh Apizk di aplikasi TikTok, pada awalnya kelihatan seorang warga emas memandu kereta Perodua Kancil sedang berhenti di lampu isyarat merah.
Apa yang menarik perhatian apabila warga emas itu tidak mensia-siakan masa menanti lampu isyarat bertukar daripada merah kepada hijau dengan membaca ayat suci al-Quran.
Ketika membaca al-Quran, matanya turut sekilas memandang ke arah lampu isyarat sekiranya ia sudah bertukar kepada hijau.
Kebetulan ada seorang individu mengakui mengenali warga emas itu menjelaskan, membaca ayat-ayat al-Quran di dalam kereta adalah rutin harian lelaki tersebut sejak dulu lagi.
"Pak cik ni lah yang setiap pagi hantar saya ke tempat kerja saya mengajar dulu, masih guna kereta yang sama dan inilah rutinnya sambil menunggu saya.
"Semoga ALLAH merahmati pak cik ni,” ujar seorang wanita yang dikenali sebagai Nurdeeny di ruangan komen.
Di dalam malah di bahagian bumbung kereta dipandu warga emas berkenaan dipenuhi kepingan kotak dan barangan kitar semula dipercayai untuk dijual.
Sebaik sahaja lampu bertukar hijau warga emas itu dengan tenang meneruskan pemanduannya.
Melihat di ruangan komen, ramai kagum dengan perkara yang dilakukan oleh warga emas terbabit.
Malah ada yang mengatakan itu adalah erti kaya yang sebenar kerana memanfaatkan setiap kehidupannya untuk beribadah kepada ALLAH.
"Kayanya pak cik ni.. orang kaya yang sebenar. Kaya di akhirat,” ujar Alang_Jaa