Usah cetus spekulasi dalam isu garis panduan Muslim - Mujahid

Iklan
Mujahid

SHAH ALAM - Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau hipotesis yang boleh mencetuskan polemik hubungan antara kaum dan agama dalam negara ini.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, niat suci penggubal garis panduan bagi orang Islam untuk berada di dalam majlis bukan Islam tidak harus diragui dan ia sebagai panduan dan bukan bersifat perundangan atau penguatkuasaan.

Iklan
Iklan

"Hingga kini, garis panduan itu hanya diketahui melalui kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tanpa memperincikan apa yang terkandung di dalam garis panduan tersebut.

"Secara umumnya majlis bukan Islam yang dihadiri bersifat budaya, sosial dan campuran agama, kebudayaan dan sosial. Bagi majlis agama atau upacara tertentu bagi bukan Islam pula, ia tidak memerlukan kehadiran mana-mana Muslim kerana tiada keperluan dan ia bercanggah dengan prinsip syariat.

Iklan

"Jika perlu sekalipun, ia mestilah dijustifikasikan kepada orang Muslim tertentu dan atas keperluan dengan mengikuti adab-adab tertentu sebagai seorang Islam seperti mana ditetapkan dalam fiqh hubungan antara agama,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjelaskan, secara umumnya seseorang Muslim berpegang kepada konsep ‘lakum dinukum wali yadin iaitu ‘bagi kamu agama kamu, bagi aku agama aku’.

Iklan

Ujar beliau, ini bermakna seorang Muslim tidak boleh mengiktiraf, meraikan atau mengikuti mana-mana upacara ibadat bukan Islam atas apa jua alasan sekalipun.

"Ini bukan bermakna seorang Muslim tidak menghormati kepada apa sahaja upacara yang hendak dilakukan jika ia adalah tuntutan dari agama tersebut atas konsep ‘la ikraha fid din’.

"Secara siasah syariah, panduan adab orang Islam dalam hubungan bukan Islam juga ditentukan oleh undang-undang dalam negara dan keperluan mana-mana pemimpin Islam untuk hadir dalam maslahah yang lebih besar dengan tetap berakhlak menepati adab-adab seorang Muslim.

"Pihak bukan Muslim seharusnya turut memahami kehendak ini dan lebih sensitif untuk tidak melanggar batasan ini,” jelasnya.

Justeru, beliau meminta semua pihak untuk memahami dalam konteks hubungan antara agama, adanya ruang eksklusif yang dilarang dan ruang inklusif yang diharuskan serta memahami ruang keperluan dan ketidakperluan.

Katanya, dalam semua keadaan, syariat Islam menyediakan adab dan akhlak yang mulia.

"Dalam hubungan antara agama, soal asas ialah memastikan hidup dalam kedamaian dan menghormati hak beragama manakala hadir atau tidak hadir ke dalam majlis bukan Islam perlu ditetapkan oleh suasana serta bentuk majlis serta keperluan kehadiran.

"Kita menunggu pencerahan secara terperinci garis panduan ini supaya dapat memenuhi tujuan Islam.

"Hasrat utama syariah ialah untuk mencapai hubungan yang damai antara agama, kaum dan bukan hubungan yang berlaku atas prejudis serta kebencian dan permusuhan,” jelasnya.

Kerajaan sebelum ini dilaporkan sedang mengkaji satu garis panduan baharu yang merangkumi penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dilaporkan berkata, garis panduan itu dibangunkan bagi menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk berbilang agama di negara ini.

Garis panduan itu, katanya adalah sebagai panduan buat orang Islam untuk menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam.

Namun, media melaporkan beberapa pihak mengkritik cadangan itu antaranya berhubung keperluan mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama jika acara itu melibatkan umat Islam, serta memastikan acara terbabit tidak mengandungi unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.