LANGKAWI – Dua Vesel Nelayan Tempatan (VNT) ditahan disyaki melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan kurang 15 batu nautika pada kedudukan lebih kurang 9.0 batu nautika barat Tanjung Belua.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, penahanan itu dilakukan dalam rondaan rutin menerusi Op Aman, Op Tiris 3.0 dan Op Guard 4.0 pada jam 4 petang, Khamis.
Beliau memaklumkan, kedua-dua vesel terbabit bersama dua orang tekong dan enam kru warganegara Thailand ditahan bot ronda Maritim ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan.
"Hasil pemeriksaan mendapati mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika.
"Selain itu, mereka juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Romli, nilai keseluruhan rampasan termasuk hasil tangkapan seberat 800 kilogram dianggarkan melebihi RM1 juta.
Tambahnya, kesemua kru bersama barang kes dan vesel telah dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Langkawi untuk siasatan lanjut.
Beliau menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan akan terus memperketat kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 untuk tindakan segera.