JOHOR BAHRU - Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat merah ke atas dua kereta milik seorang lelaki, bulan lalu.
Tertuduh, Rianovent Teo Chin Xi, 30, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan cara menyimbah cat merah ke atas dua kereta iaitu Proton dan Kia milik seorang lelaki sehingga menyebabkan kerugian RM500.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Camar 8, Taman Perling di sini, jam 5 petang, 26 Januari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum dijatuhkan hukuman, peguam Kenji Soh Xin Da yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh yang menjimatkan kos dan masa mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan mengambil kira kerugian RM500 yang dialami pengadu.
Berdasarkan fakta kes, pengadu membuat laporan polis pada jam 2 petang, 26 Januari lalu mendakwa ketika di tempat kerja telah menerima panggilan telefon daripada isterinya memberitahu rumah mereka disimbah cat merah.
Polis kemudian berjaya menahan tertuduh pada jam 12.20 tengah hari, 27 Januari lalu, di tepi Jalan Jaya dekat Kluang, sebelum merampas telefon bimbit dan kunci kereta.
Pemeriksaan lanjut ke atas kereta menjumpai nota serta notis ugutan, alat tulis, tin semburan, tin cat, baldi plastik terdapat cat dan sisa cat selain hasil pemeriksaan Jabatan Forensik terhadap telefon bimbit tertuduh terdapat bayaran diterimanya untuk melakukan perbuatan simbah cat merah ke atas pengadu.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan denda sebanyak RM3,500 dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Sementara itu, di kamar yang berasingan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin, tertuduh mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan melakukan khianat dengan cara sama ke atas dua buah rumah sehingga menyebabkan pemilik kediaman itu mengalami kerugian masing-masing sebanyak RM57 dan RM60.
Dua pertuduhan yang dibuat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di Jalan Padi Emas, Bandar Baru Uda di sini, jam 6 pagi, 10 Januari lalu dan Taman Johor Jaya di sini, jam 8 pagi, 25 Januari lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, R Nevina menawarkan jaminan RM8,000, namun dibantah Kenji Soh dengan memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dan menanggung isteri serta anaknya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan itu dan menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.
Sebelum itu, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dalam satu kenyataan berkata, lelaki warga tempatan itu ditahan kerana dipercayai terlibat dengan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau along dengan peranan membuat ugutan jenayah dengan cara menyimbah cat ke atas rumah peminjam yang gagal membuat pembayaran pinjaman.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati, lelaki itu bergiat aktif melakukan jenayah itu di Johor sejak bulan lalu dengan mendapat upah sebanyak RM450 daripada sindiket.
Jelasnya, sasaran kumpulan sindiket ialah warga Malaysia yang bekerja di Singapura dan segala urusan transaksi kemasukan serta pembayaran balik pinjaman adalah menggunakan akaun bank yang didaftarkan di Singapura.