Paip bocor bukan punca tanah runtuh di Tapah

Iklan
Keadaan runtuhan tanah yang berlaku di Taman Bunga Raya dekat Jalan Pahang, Tapah pada Selasa lalu. Foto media sosial

GOPENG - Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Bunga Raya dekat Jalan Pahang, Tapah pada Selasa lalu bukan berpunca daripada kebocoran paip yang mengakibatkan pergerakan tanah berlaku.

Exco Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, sebelum kejadian, aliran paip air mentah yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh itu adalah lancar seperti biasa.

Iklan
Iklan
Mohammad Nizar

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan mendapati, kerosakan yang berlaku pada paip bawah tanah milik Lembaga Air Perak (LAP) itu adalah disebabkan kesan hentaman runtuhan tanah dalam skala besar pada hari tersebut.

"Punca runtuhan tanah ini ada macam-macam, mungkin sebab gegaran atau kawasan tersebut sendiri berdekatan dengan punca air.

Iklan

"Tambahan pula, sekiranya berlaku kebocoran paip utama seperti ini, kita akan dapat kenal pasti awal kerana tekanan air sudah turun dan kita boleh buat pemeriksaan, tetapi perkara itu tidak berlaku," katanya.

Mohammad Nizar (tiga dari kiri) mengadakan lawatan ke Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar HTA Aquatech di Kampung Changkat Tualang dekat Gopeng pada Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar HTA Aquatech di Kampung Changkat Tualang di sini pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (Insken), Mustaffa Kamil Ayub dan Pengerusi Eksekutif Institut Agro dan Keusahawanan (iGROW), Nordin Abdul Malek.

Mengulas lanjut, Mohammad Nizar berkata, kerja-kerja pembaikan paip telah pun dilakukan segera dan selesai pada Rabu melibatkan pemasangan dinding penahan di bahagian atas dan bawah kawasan runtuhan tersebut.

Mohammad Nizar (tengah) melihat hasil benih ikan yang dihasilkan Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar HTA Aquatech di Kampung Changkat Tualang dekat Gopeng pada Jumaat.

"Apa yang kita lakukan itu (pemasangan dinding penahan) sudah pun membantu untuk menafikan kerosakan pada paip berulang sekiranya berlaku runtuhan tanah lagi selepas ini.

"Dengan perkembangan ini, kawasan-kawasan yang mengalami gangguan bekalan air sebelum ini antaranya di Tapah, Bidor dan Teluk Intan akan pulih secara berperingkat," katanya.

Difahamkan, kejadian tanah runtuh tersebut mengakibatkan dua kediaman di taman perumahan berkenaan mengalami kerosakan, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Sementara itu, Mohammad Nizar menggalakkan lebih ramai pihak melibatkan diri dalam industri pertanian dan perikanan bagi membantu memperkukuh aspek keterjaminan makanan negara.

Katanya, sokongan diberikan kerajaan negeri termasuklah memberi kelulusan agar tanah-tanah milik kerajaan diusahakan bagi tujuan tersebut.

Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar HTA Aquatech di Kampung Changkat Tualang yang beroperasi sejak 2020 berupaya membekalkan hampir satu juta anak ikan dalam satu-satu masa dengan pasarannya ke seluruh negara.