PENERBIT filem terkemuka, Astro Shaw, terus mengukuhkan kedudukan di persada industri perfileman antarabangsa dengan mengumumkan kerjasama strategik bersama Sympatico, label produksi di bawah Double Vision, serta Argo Films dari United Kingdom yang diterajui oleh penerbit terkenal Richard Johns, dan Mocha Chai Laboratories bagi penerbitan filem romantik komedi terbaharu bertajuk Mojo.
Astro Shaw bertindak sebagai penerbit bersama serta memimpin strategi pemasaran dan pengedaran di Malaysia untuk tayangan pawagam tahun ini.
Bukan itu sahaja, Mojo bakal menembusi pasaran antarabangsa menerusi pengedaran oleh syarikat berpangkalan di UK, SC Films International.
Filem Mojo menyaksikan gabungan tenaga kreatif serta pelakon dari Malaysia dan Indonesia. Naskhah ini diarahkan oleh Min Lim, yang sebelum ini mengarahkan siri Kopitiam versi reboot, manakala penulisan skrip diketuai oleh satu-satunya penulis dari Asia yang terpilih dalam Episodic Labs Cohort 2024 anjuran Film Independent, Honey Ahmad (Motif, Saladin, Walinong Sari) bersama penulis lain seperti Zahir Omar (Fly By Night, The Bridge), dan penulis terkenal Chi-Ren Choong (The Bridge, Liar).
Watak utama, Adi, dilakonkan oleh pelakon Indonesia yang terkenal menerusi filem Sang Kiai dan Posesif, Adipati Dolken, bergandingan dengan pelakon hebat Malaysia, Mimi Lana.
Bintang lain yang turut menjayakan filem ini ialah Wan Hanafi Su, Namron, Aziz M. Osman, Datuk A Tamimi Serigar, Tony Eusoff, Gambit Saifullah dan Farah Ahmad.
"Setelah perancangan yang panjang, akhirnya impian ini menjadi kenyataan dengan sokongan luar biasa daripada individu dan pihak yang percaya pada projek ini.
"Saya amat gembira apabila Astro Shaw turut serta dalam penghasilan filem ini. Sebagai penerbit bersama dan pengedar, komitmen mereka dalam menyokong produksi tempatan seperti Sympatico benar-benar memberi makna besar dalam merealisasikan visi kami iaitu menghasilkan sebuah karya yang autentik dan unik.
"Kami tidak sabar untuk mempersembahkan filem romantik komedi ini ke layar perak pada penghujung tahun ini dan mengharapkan Mojo mampu menyerlahkan keunikan penceritaan serta keupayaan produksi Asia Tenggara di persada antarabangsa," ujarnya.
Mojo mengisahkan Adi yang bekerja di Moo Magic Farms berjaya melonjakkan jualan syarikat ternakan tersebut dengan menjadikan seekor lembu unik, Mojo, sebagai bintang media sosial.
Dalam pada itu, syarikat ternakan tersebut giat mengambil alih ladang tenusu kecil di luar bandar demi keuntungan. Namun hanya satu perusahaan di Kampung Semerah Padi yang diusahakan oleh petani, Atan bersama anak perempuannya, Ayu menolak dan tidak mahu menjual tanah mereka.
Keadaan menjadi huru-hara apabila Atan menculik Mojo untuk dijadikan tebusan. Demi mendapatkan Mojo semula, Adi menyusup ke Kampung Semerah Padi dan menyamar untuk memujuk penduduk kampung menjual tanah mereka.
Dalam kekalutan, Adi mula jatuh cinta dengan Ayu dan menikmati kehidupan sederhana di kampung. Adi berdepan dilema terbesar dalam hidupnya sama ada memilih kejayaan yang diimpikan, atau mengikuti kata hatinya yang akhirnya menemukan apa yang benar-benar berharga?