TEMERLOH - Baru tiga bulan beroperasi, 10 peserta bengkel jahitan beg kreatif Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Chatin di sini tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan terhadap beg jenama ‘Laa Chatine’.
Pengerusi JPKK Kampung Chatin, Jamal Abdul Nasir Yahya, 54, berkata, bengkel yang dibuka sejak 1 Disember lalu itu menerima ratusan tempahan membabitkan pelbagai agensi dan penduduk setempat.
Menurutnya, bengkel itu dianjurkan di bawah program Sejahtera Komuniti Madani dan mendapat peruntukan sebanyak RM50,000.
"Peserta terdiri wanita berusia 34 hingga 62 tahun yang bermula daripada kosong mengenai pembuatan beg dan mereka dihantar menjalani kursus untuk enam hari di Kolej Komuniti.
"Selepas menjalani kursus, mereka memulakan kerja-kerja di bengkel sejak Disember tahun lepas dan kini memang mendapat permintaan menggalakkan dengan tempahan daripada Pejabat Daerah Temerloh serta Felda Jendera Selatan selain penduduk setempat,” katanya kepada Sinar Harian.
Ujarnya, selain beg wanita, pihaknya juga mendapat tempahan beg lelaki yang dijual pada harga bermula RM20 hingga RM35 setiap satu, mengikut saiz.
Jelasnya, idea mewujudkan bengkel jahitan tersebut dicetuskan oleh Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Khairur Rizal Ramli dan kini telah memberikan manfaat kepada peserta untuk meraih pendapatan sampingan.
Sementara itu, suri rumah, Afifah Mahmud, 34, berkata, selain dapat meraih pendapatan sampingan, dia juga memperoleh kemahiran menjahit dan dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dalam bengkel tersebut.
"Di sini semua bekerja sebagai satu pasukan dan sebagai peserta paling muda, seronok dapat berkongsi ilmu dan kemahiran,” katanya.