Lelaki bakar bilal diarah jalani pemeriksaan mental

Iklan
Muhamad Ayatul Firdaus diarahkan Mahkamah Alor Setar menjalani pemerhatian di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.

ALOR SETAR - Lelaki yang membakar bilal di Masjid Al Hasanah Taman Wira Mergong pada Rabu lalu diarahkan oleh Mahkamah Alor Setar menjalani pemerhatian di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Juraidah Abbas selepas menolak pengakuan bersalah tertuduh, Muhamad Ayatul Firdaus Masri, 40, selepas pertuduhan dibacakan kepadanya hari ini.

Iklan
Iklan

Tertuduh diarahkan menjalani pemeriksaan mental selama sebulan dan 24 Mac depan ditetapkan sebagai tarikh serahan laporan tahap kesihatan tertuduh dan juga keputusan kes.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhamad Ayatul, yang tinggal di Lorong Kelab, Alor Setar didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Amri Budin, 67, di Masjid Al Hasanah pada jam 6.10 pagi, 19 Februari lalu.

Iklan

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum sehingga 20 tahun, denda atau sebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Aqharie Durranie Aziz.

ARTIKEL BERKAITAN: Bilal masjid dibakar lelaki bertopeng ketika hendak azan Subuh

Suspek bakar bilal ditahan

Iklan

Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan seorang bilal melecur teruk akibat disimbah dengan minyak sebelum dibakar oleh seorang lelaki bertopeng.

Dalam kejadian sekitar jam 6 pagi itu, Amri seperti biasa datang ke masjid berkenaan untuk mengalunkan azan solat Subuh sebelum didatangi suspek yang kemudian menyimbah minyak pada tubuhnya lalu menyalakan api.

Menceritakan kejadian tersebut menantu mangsa, Jarina Awang, 44, berkata, bapa mentuanya itu melecur teruk di bahagian muka, tangan dan sebelah kiri tubuhnya.