Garis panduan perlu, tapi bukan sampai kawal urusan ibadat agama lain - Annuar Musa

Iklan
Annuar Musa

SHAH ALAM - Cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mewujudkan garis panduan mengenai pembabitan umat Islam ke majlis atau upacara di rumah ibadat bukan Islam adalah amat perlu kerana tidak semua di antara mereka tahu secara terperinci garis sempadan ditetapkan Islam.

Bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berpandangan, pelaksanaannya tidak perlulah sampai setiap agensi agama seperti Jakim dan Majlis Hal Ehwal Islam Negeri hendak mengawal urusan ibadat agama lain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, memandangkan Malaysia membenarkan rakyat bebas beragama dengan kepelbagaian agama di negara ini, maka umat Islam perlu sentiasa dipandu alim ulamak dan pihak penguat kuasa agama dalam hal-hal yang boleh menyentuh soal akidah.

"Tidak semua rakyat beragama Islam tahu secara terperinci garis sempadan ditetapkan dalam Islam.

Iklan

"Maka garis panduan dari Jakim dan majlis hal ehwal Islam setiap negeri amat perlu (diwujudkan). Namun begitu, tidak perlulah sampai Jakim hendak mengawal urusan ibadat agama lain," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan untuk menetapkan garis panduan mengenai pembabitan umat Islam ke majlis atau upacara di rumah ibadat bukan Islam.

Iklan

Menteri Kewangan itu juga menegaskan umat Islam sebaliknya hanya perlu menjaga akidah dan mematuhi peraturan agama yang sudah ditetapkan.

Terdahulu, keputusan Jemaah Menteri bersetuju bahawa Jakim boleh memberikan nasihat kepada umat Islam di negara ini berkaitan keperluan menjaga akidah ketika mengikuti majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan bersama mereka, dilaporkan berkata nasihat itu bagaimanapun tidak bersifat dasar.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional berkata, jurang kefahaman orang bukan Islam terhadap hukum agama yang dipatuhi umat Islam tidak boleh dicampur tangan secara tidak wajar oleh mereka kerana mampu menimbulkan situasi tidak baik dalam negara.

"Perkara ini dilihat semakin ketara mutakhir ini. Jangan sampai ada pihak hilang tahap kesabaran mereka," katanya.