Sultan Selangor tidak berkenan cadangan wujud garis panduan

Iklan
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan baginda tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam khususnya di Selangor.

Sebagai Ketua Agama Islam di negeri Selangor, baginda berpandangan, cadangan garis panduan itu dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian iaitu ketika sekalian rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.

Iklan
Iklan

Baginda bertitah, polemik tercetus itu telah sedikit sebanyak menimbulkan keresahan kepada masyarakat dan akan menjejaskan keharmonian yang telah sedia terjalin.

"Islam menerusi al-Quran dan sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman dan diperkuat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam di Malaysia.

Iklan

"Justeru, isu terpesongnya akidah umat Islam susulan amalan berkenaan tidak timbul kerana beta percaya umat Islam kini tahu tentang batas-batas akidah serta tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan," titah baginda.

Sebelum ini, polemik mengenai garis panduan ini timbul susulan cadangan awal kerajaan untuk mengeluarkan panduan kepada umat Islam berhubung kehadiran mereka dalam majlis perayaan bukan Islam.

Iklan

Garis panduan ini bertujuan memastikan umat Islam tidak terlibat dalam elemen ritual atau keagamaan yang boleh menjejaskan akidah.

Bagaimanapun, cadangan tersebut mendapat kritikan daripada pihak tertentu, terutamanya daripada kalangan pemimpin bukan Islam yang melihatnya sebagai satu bentuk diskriminasi dan berpotensi menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

Baginda turut mengingatkan sebagai sebuah negara majmuk dengan rakyatnya menganuti pelbagai agama dan kepercayaan, toleransi dalam beragama seharusnya tidak dikompromi.

"Dalam masa sama, setiap rakyat perlu menghormati dan memperakui bahawa Islam adalah agama persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

"Bagaimanapun beta nasihatkan umat Islam khususnya di negeri Selangor agar sentiasa berusaha untuk terus memperkukuh akidah dan iman masing-masing dengan mendalami ilmu agama serta melakukan segala suruhan ALLAH serta meninggalkan segala larangannya.

"Apabila setiap umat Islam mencapai tahap akidah yang teguh dan kesempurnaan iman hakiki, serta memantapkan keyakinan kepada ALLAH maka kita semua tidak akan mudah terpesong atau terpengaruh dengan anasir-anasir luar," titah baginda.