KOTA BHARU - Seramai 50 murid dalam kalangan keluarga asnaf dari Tumpat dibantu Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Kampung Laut bagi membeli kelengkapan persekolahan untuk sesi 2025.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Kampung Laut, Kamaruddin Abd Aziz berkata, program dijayakan melalui sumbangan berjumlah RM11,000 oleh syarikat produk bekas makanan jenama Lava, Xtrasim Marketing dan kerjasama Pasar Raya Lotus’s Kota Bharu.
"Usaha ini dilakukan bagi membantu meringankan bebanan golongan asnaf dalam menyediakan kelengkapan persekolahan kepada anak-anak termasuk uniform, kasut, beg sekolah dan alat tulis.
"Penerima terdiri dalam kalangan murid berusia antara tujuh hingga 12 tahun yang hadir ke Lotus bersama ibu bapa untuk memilih sendiri kelengkapan masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, program pengagihan bantuan kelengkapan persekolahan bernilai kRM200 hingga RM250 setiap seorang itu julung kali diadakan selepas penyampaian sumbangan pek makanan kepada mangsa banjir baru-baru ini.
Katanya, keseluruhan penerima terlibat dari Kampung Laut, Kok Pasir, Hutan Jambu, Kampung Berlian dan Kolam Teratai.
"Kalangan penerima juga ada yang terjejas banjir pada November tahun lepas menyebabkan baju sekolah hayut.
"Mereka juga antara asnaf yang ketua isi rumahnya hanya bekerja sebagai buruh dan nelayan selain terdapat ibu tunggal,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Pasar Raya Lotus’s Kota Bharu, Koh Siuew Luan berkata, pasar raya berkenaan melancarkan Jualan Back to School bermula pada 5 Februari lepas hingga 13 Februari ini yang memberi potongan harga kelengkapan persekolahan sehingga 20 peratus.
"Lotus juga mengadakan Jualan Rahman yang menawarkan potongan hampir 30 peratus selama dua hari hingga Sabtu.
"Potongan harga berganda ini membantu pelajar mendapatkan kelengkapan lebih murah bermula serendah RM29 bagi sepasang uniform murid sekolah rendah,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan bakul makanan berjumlah RM45,000 kepada mangsa banjir di Lubok Jong, Rantau Panjang, baru-baru ini.
Dalam pada itu, suri rumah, Asleeraini Abdul Ghani, 45, amat bersyukur dengan sumbangan itu selepas buntu memikirkan tidak cukup wang untuk membeli kelengkapan persekolahan kepada empat daripada tujuh anaknya.
Kata Asleeraini, dia mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyrakat berjumlah RM1,000 untuk empat anak bersekolah di Tingkatan Tiga, Tingkatan Satu, Darjah Enam dan Darjah Dua selain menerima Bantuan Awal Persekolahan RM150 setiap anak.
"Saya memang tidak cukup wang kerana tidak bekerja selain baru lepas kena bencana banjir setinggi 0.4 meter pada tiga bulan lalu.
"Suami saya pula sudah meninggal dunia akibat strok pada tahun 2023,” katanya.