Pusat logistik percepat agihan bekalan kepada lebih 80,000 banduan

Iklan
Zulkifli (tiga dari kiri) dan Ahmad Allaudin (tiga dari kanan) menunjukkan memorandum yang telah ditandatangani pada Sabtu.

SHAH ALAM - Pembinaan pusat logistik bersepadu pertama di bawah Yayasan Koreksional Malaysia dapat mempercepatkan pengagihan bekalan keperluan kepada lebih 80,000 banduan seluruh negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata, ia juga bertujuan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan keperluan yang diagihkan kepada pihak penjara.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, inisiatif melibatkan seramai 11 pembekal yang juga usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) itu, turut memberi manfaat kepada kebajikan pekerja yang berkhidmat di penjara.

"Apabila ada pusat logistik, secara tidak langsung Yayasan Koreksional Malaysia boleh membeli bekalan dalam kuantiti yang besar untuk dikumpulkan dalam satu tempat.

Iklan

"Jika berlaku situasi terputus bekalan, sudah semestinya perkara-perkara yang tidak diingini, kita dapat elakkan. Secara langsung ia memberi kebaikan sama ada kepada pekerja mahupun banduan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Muhammad Izuan dan Zulkifli bergambar bersama para pembekal di Pusat Logistik Bersepadu Yayasan Koreksional Malaysia (PLB-YKM), Mutiara Subang pada Sabtu.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Koreksional Malaysia dan KFA Properties Sdn Bhd di Pusat Logistik Bersepadu Yayasan Koreksional Malaysia (PLB-YKM), Mutiara Subang pada Sabtu.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Perbekalan Yayasan Koreksional Malaysia, Wan Ramzan Wan Ahmad dan Pengarah Urusan KFA Properties Sdn Bhd, Izzani Ashraaf Taupik.

Tambah beliau, pembinaan pusat logistik berkenaan juga mendorong kepada peningkatan peluang pekerjaan dan ekonomi usahawan tempatan di negara ini.

"Saya menyeru supaya seluruh pembekal di Malaysia khususnya peniaga tempatan untuk bekerjasama dengan KFA Properties Sdn Bhd dan Yayasan Koreksional Malaysia bagi menambah lagi jumlah bekalan lebih banyak.

"Saya percaya ini memberikan jumlah pilihan kepada banduan mahupun pekerja, apakah jenis bekalan keperluan yang ditawarkan kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Koreksional Malaysia, Datuk Zulkifli Omar berkata, pembekal terlibat perlu menjaga kualiti barangan disediakan dan memastikan ia dapat sampai kepada penghuni penjara dalam masa ditetapkan.

"Tujuannya adalah kerana kita tidak mahu proses pemulihan kepada mereka (banduan) ini terbantut disebabkan oleh kekurangan dari segi bahan asas dan keperluan makanan.

"Ini sebagai salah satu makanan tambahan diberikan kepada mereka. Kita hendak beritahu bahawa walaupun ada ahli keluarga yang menjadi banduan di penjara tetapi kita tidak meminggirkan mereka," katanya.

Menurut beliau, kerjasama strategik berkenaan bertujuan mencari dana bagi membantu banduan dalam membina kemahiran sepanjang tempoh berada di penjara.

"Dengan dana ini, kita harap dapat membantu pegawai penjara untuk menyediakan latihan kemahiran daripada banduan menerusi kursus yang ada.

"Matlamat akhir, apabila bebas mereka dapat menjadi manusia berguna dan tidak lagi membuat kesalahan sama, atau kita panggil sebagai peluang kedua kepada penghuni penjara," katanya.