FMM galak pengilang maklum inisiatif terkini PERKESO kepada pekerja

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat mengenai pekerja ditimpa bencana kerja dan penyakit khidmat tidak perlu bayar kepada klinik panel PERKESO. Gambar kecil: Thian Lai

SHAH ALAM - Pengilang digalakkan untuk memaklumkan kepada semua pekerja mengenai inisiatif terbaharu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk memudahkan proses rawatan perubatan bagi pekerja yang mengalami kecederaan akibat kerja.

Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, menerusi inisiatif ini pekerja tidak perlu membayar kos rawatan terlebih dahulu ketika mendapatkan rawatan di klinik panel PERKESO.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum ini pekerja perlu mendahului wang mereka iaitu antara RM150 hingga RM200 setiap lawatan dan kemudian menuntut bayaran balik daripada PERKESO.

"Menerusi peraturan baharu ini, pekerja boleh menerima rawatan di mana-mana daripada 1,400 klinik panel PERKESO di seluruh negara tanpa perlu membayar terlebih dahulu kerana klinik akan menuntut kos terus daripada PERKESO.

Iklan

"FMM menyokong penuh penambahbaikan ini kerana ia menjadikan rawatan perubatan lebih mudah diakses, mengurangkan tekanan kewangan pada pekerja dan memastikan rawatan lebih pantas tanpa berlengah-lengah.

"Inisiatif ini juga dapat mengurangkan beban pekerja yang mendapatkan rawatan perubatan tanpa risau soal kewangan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengumumkan penambahbaikan PERKESO terhadap faedah perubatan untuk kecederaan berkaitan kerja semasa acara Tahun Baru Cina di Pulau Pinang.

Tambah Thian Lai, ia turut membantu pekerja menumpukan pemulihan kesihatan sambil meminimumkan gangguan kerja yang akhirnya akan memberi manfaat kepada kakitangan dan majikan.

Jelasnya, peningkatan ini sejajar dengan komitmen FMM untuk menyokong dasar yang mengimbangi kebajikan pekerja dengan keperluan industri.

"Akses yang lebih pantas dan mudah kepada rawatan perubatan membolehkan perniagaan mengurus kesihatan di tempat kerja dengan lebih berkesan sambil memastikan tenaga kerja lebih selamat dan produktif.

"FMM berharap dapat terus bekerjasama dengan PERKESO dan Kementerian Sumber Manusia untuk mempertingkatkan skim perlindungan pekerja yang memberi manfaat kepada pekerja dan majikan,” ujarnya.