KUALA LUMPUR - Polemik garis panduan Muslim hadir majlis perayaan orang bukan Islam perlu dihentikan serta semua pihak perlu akur dengan keputusan ditetapkan Jemaah Menteri.
Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Hannah Yeoh berkata, sebarang kenyataan dikeluarkan harus merujuk kepada ketetapan oleh Jemaah Menteri serta menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan cadangan itu.
Menurutnya, isu berkaitan politik perkauman untuk mewujudkan keadaan tidak selesa dalam negara harus dihentikan.
"Semua kaum sudah lama hidup bersama jadi tidak ada isu, jadi saya minta ahli politik jangan mainkan lagi isu ini.
"Semua perlu akur dengan keputusan Jemaah Menteri, rujuk semula kenyataan bersama dikeluarkan bersama oleh Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, serta titah Sultan Sharafuddin dikeluarkan hari ini," katanya mengulas berhubung isu berkenaan pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Segambut 2025 di Taman Tasik Manjalara di sini.
Sambutan itu dimeriahkan dengan kehadiran hampir 2,000 pengunjung selain turut menyaksikan hidangan yee sang vagetarian sepanjang 75 meter.
Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, beliau yakin rakyat Malaysia tahu batas dan had agama masing-masing walaupun tanpa pelaksanaan garis panduan tersebut.
"Seperti dimaklumkan oleh jemaah menteri melalui kenyataan bersama oleh Mohd Na’im serta Aaron, rakyat Malaysia sekian lama hidup bersama dalam keadaan harmoni.
"(Sebelum ini) tidak ada garis panduan tapi semua orang tahu had masing-masing dan pergaulan itu berdasarkan peruntukan Perlembagaan yang telah lama wujud," katanya.
Jemaah Menteri pada Jumaat memutuskan tiada keperluan untuk mewujudkan garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet pagi ini dan akan dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
Terdahulu, menerusi kenyataan bersama oleh Mohd Na’im dan Aaron menegaskan bahawa setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan rakyat serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.