GERGASI Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) sedang berusaha untuk mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE).
Pemain sayap lincah Harimau Selatan, Arif Aiman telah memainkan peranan penting dalam kempen penyandang juara Liga Super itu di edisi sulung ACLE.
Pemain muda berusia 22 tahun itu memulakan fasa liga dengan catatan cemerlang, menjaringkan dua gol dalam seri 2-2 menentang Shanghai Port.
Beliau kemudiannya menjaringkan gol pembukaan ketika kemenangan 3-0 pasukannya ke atas Shanghai Shenhua.
Sejak itu, Arif turut menjaringkan gol ketika menentang Ulsan HD, menjadikan jumlah golnya kepada empat dalam enam perlawanan.
Dengan dua perlawanan terakhir menentang kelab Australia, Central Coast Mariners dan Pohang Steelers (Korea Selatan) pada Februari ini, Arif berkongsi pandangannya tentang persaingan setakat ini dalam temu bual bersama the-AFC.com.
THE AFC.COM: Bagaimana anda boleh meringkaskan prestasi JDT setakat ini dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) musim ini?
ARIF AIMAN: Saya tidak mahu meringkaskan kempen kami lagi. Kami masih ada dua perlawanan lagi dan kami lebih menantikan perlawanan tersebut daripada melihat ke belakang untuk menilai prestasi kami setakat ini.
THE AFC.COM: Anda telah memberi impak besar dalam pertandingan ini. Apakah sorotan buat anda dalam enam perlawanan kumpulan pertama? Ceritakan tentang gol-gol yang anda jaringkan dan impaknya?
ARIF AIMAN: Impak besar itu datang daripada pasukan, bukan saya seorang. Ini tentang usaha semua ahli pasukan yang memberikan yang terbaik dalam enam perlawanan kumpulan yang telah kami lalui. Namun, masih banyak perkara yang perlu kami perbaiki.
Kami perlu terus meningkatkan prestasi untuk memastikan kami mara ke pusingan seterusnya.
Gol-gol yang saya jaringkan adalah motivasi buat saya, dan saya akan terus berusaha dalam perlawanan akan datang.
THE AFC.COM: JDT kini berada di tangga keenam dalam fasa liga. Apakah makna buat anda dan kelab ini untuk mara ke pusingan 16 terakhir dan sejauh mana keyakinan anda untuk mencapainya?
ARIF AIMAN: Kami akan memberikan yang terbaik dalam dua perlawanan terakhir fasa liga ini. Kami sebagai pasukan sudah bersedia dan fokus dalam persiapan. Dua perlawanan terakhir ini sangat penting untuk menentukan sama ada kami layak ke pusingan 16 atau tidak.
THE AFC.COM: Anda sudah ada pengalaman bermain dalam Liga Juara-Juara Asia pada musim-musim sebelumnya bersama JDT; bagaimanakah pengalaman itu membantu anda menghadapi cabaran dalam pertandingan tahun ini?
ARIF AIMAN: Berdasarkan pengalaman saya bermain di peringkat tertinggi, setiap perlawanan pasti ada cabarannya.
Di peringkat tertinggi Asia, tiada perlawanan yang mudah. Namun, saya mengambilnya sebagai peluang untuk membuktikan diri saya di peringkat Asia. Ini bukan beban, tetapi peluang buat saya.
Saya menghargainya dan akan memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Peringkat ini mencabar bukan sahaja buat saya, tetapi juga pasukan, sebab itu kami berusaha untuk mendapatkan hasil yang terbaik.
THE AFC.COM: Sila ceritakan sedikit tentang diri anda. Apakah perjalanan anda untuk menjadi pemain bola sepak profesional, dan siapakah idola atau pengaruh terbesar anda semasa membesar?
ARIF AIMAN: Impian saya sejak kecil adalah menjadi pemain bola sepak yang berjaya. Sepanjang perjalanan ini, saya mendapat sokongan yang hebat, terutamanya daripada ibu bapa saya yang sentiasa menyokong dan mendoakan kejayaan saya sejak kecil.
Regent Johor (Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail) juga sangat menyokong dan berperanan besar dalam perkembangan saya di JDT. Saya akan terus bekerja keras kerana mentaliti saya adalah untuk sentiasa memperbaiki diri. Idola dan role model saya adalah ahli keluarga yang sentiasa menyokong saya.
THE AFC.COM: Apakah matlamat jangka panjang anda? Adakah anda mempunyai cita-cita untuk bermain di luar negara, dan jika ya, di mana anda ingin bermain pada masa depan?
ARIF AIMAN: Matlamat jangka panjang saya adalah untuk terus meningkatkan diri sebagai pemain dan terus berprestasi di peringkat tertinggi bersama JDT.
Saya perlu terus bekerja keras untuk kekal di tahap ini. Saya rasa tahap saya masih belum cukup, jadi saya akan terus berusaha dan menetapkan sasaran yang tinggi