Dua penagih dadah ragut beg tangan wanita dicekup

Iklan
Dua lelaki tempatan berumur 28 dan 31 ditahan kira-kira jam 8.35 malam pada Jumaat. Gambar hiasan

KAJANG - Tindakan dua individu meragut beg tangan seorang wanita di kawasan Balakong mengundang padah apabila diberkas pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berumur 21 tahun kira-kira jam 7.37 petang.

Iklan
Iklan

"Kejadian berlaku pada Rabu kira-kira jam 6.30 petang ketika mangsa sedang berjalan kaki di lokasi kejadian.

"Siasatan mendapati mangsa didatangi dua individu menaiki motosikal sebelum meragut beg tangan milik mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berjaya memberkas dua suspek di kawasan Batu 9 Cheras.

"Dua lelaki tempatan berumur 28 dan 31 ditahan kira-kira jam 8.35 malam pada Jumaat.

Iklan

"Pelbagai barangan dipercayai milik mangsa berjaya dirampas antaranya beg tangan, dompet, kad pengenalan, dan beberapa barangan lain, rampasan turut melibatkan 12 buah telefon bimbit serta sebuah motosikal dipercayai digunakan suspek ketika kejadian," katanya.

Menurutnya, semakan turut mendapati dua suspek terbabit masing-masing memiliki lima rekod lampau melibatkan kes jenayah dan empat rekod kes berkaitan dadah.

"Dua peket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah dirampas ketika tangkapan dijalankan terhadap suspek.

"Hasil ujian saringan air kencing, kedua-dua suspek disahkan positif dadah," katanya.

Naazron berkata, suspek direman enam hari untuk siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

"Kes turut disiasat dibawah Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dan memasukkan dadah dalam badan," katanya.