Insiden tembakan: Suspek acu senjata api ke arah pemandu, ugut bawa keluar - Polis

Iklan
Keadaan luar pusat beli-belah di Setia Alam semasa insiden tembakan berlaku malam tadi.

SHAH ALAM - Seorang lelaki yang melepaskan tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam, di sini, pada Sabtu, meloloskan diri dengan cara mengugut pemandu di tempat parkir sebelum diarah membawanya keluar sehingga ke lebuh raya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Balai Polis Seksyen 6 dimaklumkan kejadian tembakan itu kira-kira jam 10.50 malam.

Iklan
Iklan
Hussein

Katanya, dalam kejadian itu, suspek lelaki melepaskan empat das tembakan hingga mengenai kaki dan punggung seorang tukang cuci di pusat beli-belah berkenaan yang ketika itu hendak menyimpan peralatan mencuci di aras P1.

"Mangsa melarikan diri dan masuk ke dalam pusat beli-belah untuk mendapatkan bantuan manakala suspek lari ke aras P2.

Iklan
Polis membuat kawalan keselamatan di lokasi kejadian kes tembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, pada Sabtu.

Beliau berkata, suspek kemudian bertindak menahan sebuah kereta jenis Perodua Ativa dipandu pengunjung pusat beli-belah dengan mengacukan pistol dan memaksa membawanya keluar dari kawasan itu.

Jelasnya, ketika melalui lebuh raya, suspek minta untuk berhenti di tepi jalan sebelum menghilangkan diri.

Iklan

"Ekoran itu, polis menerima tujuh laporan dibuat saksi awam," ujarnya.

Tegasnya, siasatan mendapati, suspek merupakan warga tempatan berusia lingkungan 30-an dan memiliki 11 rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah.

"Suspek giat diburu dan motif kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

Hussein berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintenden Mohd Afandi Ahmad di talian 016-725 2948 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-5520 2222.