SHAH ALAM - Tekad Rasuah Busters dalam usaha mendidik masyarakat memerangi rasuah dan dadah sebagai musuh nombor satu negara mendapat sokongan penuh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, menjadi satu tanggungjawab MBSA sebagai sebuah agensi pihak berkuasa tempatan untuk bebas daripada gejala rasuah dan dadah.
Sehubungan itu, MBSA akan terus menjalinkan kerjasama dengan Rasuah Busters, Pemadam, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam menyampaikan mesej tersebut.
"Kita mahu sampaikan kepada umum menerusi pelbagai program yang dianjurkan bahawa MBSA tegas dalam usaha ini.
"Malah kita juga mengadakan saringan secara rambang bagi memastikan kakitangan kita bebas dadah," ujarnya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Gendang Perang Tempur Rasuah Hancur Dadah pada Ahad.
Program itu dianjurkan Rasuah Busters dengan kerjasama Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) dan Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Selangor sempena Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#Rasuah Busters), Nurhayati Nordin dan Pengerusi Biro Media Dan Promosi Pemadam Kebangsaan, Hashim Anang.
Pelbagai pengisian menarik dianjurkan pada Majlis Pelancaran Gendang Perang Tempur Rasuah Hancur Dadah termasuk kepada kanak-kanak menerusi pertandingan mewarna.