Dividen KWSP dijangka lebih 5.8 peratus

Iklan
Dividen KWSP tahun lalu dijangka lebih 5.8 peratus. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Pencarum Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dijangka menerima lebih 5.8 peratus dividen bagi simpanan konvensional tahun lalu, menjadikannya kadar tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

Memetik laporan FMT, sumber memberitahu ia meningkat sedikit berbanding 5.5 peratus yang diumumkan pada 2023 lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya lagi, kadar bagi simpanan syariah pula diramalkan antara 5.4 peratus hingga 5.6 peratus.

"Angka tersebut adalah ‘anggaran selamat’ dan jumlah akhir dijangka diumumkan oleh KWSP pada awal Mac ini.

Iklan

Baru-baru ini, beberapa ahli ekonomi berpandangan, terdapat kemungkinan dividen tahun lalu melepasi enam peratus berdasarkan prestasi kukuh pada suku ketiga 2024.

Bagi sembilan bulan pertama tahun lalu, KWSP turut mencatatkan pendapatan RM57.57 bilion iaitu meningkat 20 peratus daripada RM47.86 bilion dalam tempoh sama pada 2023.

Iklan

Bagaimanapun, sumber tersebut memaklumkan, pencarum tidak boleh mengharapkan dividen terlalu tinggi memandangkan KWSP antara segelintir dana pencen di dunia yang memberikan dividen berdasarkan pulangan direalisasikan dan sebenarnya ditunaikan selepas pelaburan dijual.

"Ia adalah untung dan rugi diperoleh selepas jualan dan pelaburan berbanding pulangan tidak direalisasikan. Untung atau rugi pelaburan masih dipegang, ini dikategorikan sebagai jumlah pulangan.

"KWSP tidak mengasaskan dividen pada jumlah pulangan termasuk keuntungan atas kertas yang kemudiannya ditentukan prestasi pelaburan.

”Tabung Simpanan Pekerja Singapura menggunakan pendekatan keuntungan direalisasikan dan purata dividen bagi 10 tahun lalu adalah empat peratus,” ujarnya lagi.

Difahamkan, KWSP mempunyai sekitar 16 juta ahli dengan lebih 8.5 juta aktif mencarum.

Jumlah keseluruhan agihan akaun konvensional pada 2023 adalah RM50.33 bilion dan RM7.48 bilion bagi simpanan syariah.