Rasuah: Bekas Penolong Pengarah SME Corp Terengganu didenda RM16,000

Iklan
Bekas Penolong Pengarah SME Corp Terengganu didenda RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada Ahad.

KUALA TERENGGANU - Bekas Penolong Pengarah SME Corp Terengganu didenda RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad setelah mengaku salah atas dua pertuduhan pilihan mengambil bahagian dalam perniagaan dan menerima suapan berjumlah RM7,700.

Tertuduh, Halimah Musa Brahim, 47, didakwa mengambil bahagian dalam perniagaan iaitu melibatkan diri dalam Syarikat NDZ Creative Resources dan menyokong pengesahan kerja-kerja pembersihan pejabat antara 2015 hingga 2016.

Iklan
Iklan

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa telah menyokong pengesahan kerja bagi bulan September, Oktober, November 2015 pada Perakuan Penerimaan Perkhidmatan/Bekalan bagi kerja Pembersihan Pejabat SME Corp Negeri Terengganu oleh Syarikat NDZ Creative Resources berjumlah keseluruhan RM3,300.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat SME Corp Malaysia Negeri Terengganu pada 1 Oktober hingga 1 Disember 2015.

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12 Januari hingga 1 November 2016.

Halimah dituduh di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman mengikut Seksyen 168 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

Iklan

Mahkamah memerintahkan tertuduh didenda RM8,000 bagi setiap pertuduhan dan turut memerintahkan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mariah Omar manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fadhly Yaacob dari Fadhly Yaacob & Co.

Tertuduh sebelum ini didakwa atas empat pertuduhan di bawah seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 iaitu menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan berjumlah RM29,700 antara 2015 hingga 2018.

Bagaimanapun, tertuduh ditawarkan oleh pihak pendakwaan dengan dua pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 168 Kanun Keseksaan bagi kesemua pertuduhan itu selepas mengemukakan representasi.

Baki dua lagi pertuduhan diputuskan sebagai 'Take Into Consideration' (TIC) oleh mahkamah mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.