29 orang hilang tanah runtuh di China

Iklan
Tanah runtuh berlaku sekitar 11.50 pagi waktu tempatan di Kampung Jinping. Foto Agensi

CHENGDU - Seramai 29 orang dilaporkan hilang akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku di wilayah Sichuan, barat daya China pada Sabtu, lapor Xinhua.

Tanah runtuh berlaku sekitar 11.50 pagi waktu tempatan di Kampung Jinping, yang terletak di Daerah Junlian bandar Yibin.

Iklan
Iklan

Jumlah sebenar mangsa yang hilang masih disahkan.

Sehingga tengah malam Sabtu, 10 rumah kediaman dan sebuah bangunan tertimbus.

Iklan

Dalam kejadian itu, dua orang mangsa berjaya diselamatkan, seorang daripadanya cedera parah dan seorang lagi mengalami cedera ringan.

Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di hospital di Junlian.

Iklan

Pergerakan tanah masih berterusan dan pihak berkuasa Sichuan menggerakkan 949 anggota dari pelbagai pasukan termasuk tentera, polis, bomba, pasukan tindak balas kecemasan, perubatan, serta agensi lain untuk melaksanakan operasi menyelamat.

Selain itu, peralatan penyelamatan kejuruteraan dan bekalan kecemasan telah dihantar ke kawasan kejadian.

Lebih 200 orang dipindahkan ke tempat selamat dan 155 orang ditempatkan di pusat perlindungan sementara di sebuah sekolah di Junlian.

Penduduk yang terjejas selebihnya ditempatkan bersama keluarga dan rakan-rakan mereka.

Pihak berkuasa tempatan menetapkan Kampung Jinping dan kawasan sekitar sebagai zon berbahaya selepas mengambil kira faktor penurunan suhu yang berterusan, hujan lebat dan potensi kejadian tanah runtuh berulang.

Pemantauan berterusan dilaksanakan di lereng gunung dan laluan pemindahan kecemasan serta isyarat keselamatan ditetapkan bagi mengelakkan bencana kedua di samping memastikan keselamatan ketika operasi menyelamat sedang dijalankan, menurut pihak berkuasa tempatan. - Bernama