Pekerja swasta mengaku salah tawar rasuah kepada pegawai imigresen

Iklan
Teo Wei Chin (kanan) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad, atas tuduhan menawarkan rasuah sebanyak RM5,000 kepada seorang penolong penguasa imigresen tahun lepas. Foto Bernama

ALOR SETAR - Seorang pekerja swasta mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad, atas tuduhan menawarkan rasuah sebanyak RM5,000 kepada seorang penolong penguasa imigresen tahun lepas.

Tertuduh Teo Wei Chin, 34, membuat pengakuan tersebut selepas pendakwaan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Wei Chin didakwa menawarkan suapan RM5,000 kepada seorang penolong penguasa imigresen sebagai balasan untuk membenarkan seorang wanita Thailand masuk ke Malaysia walaupun tidak memenuhi syarat sebagai pelancong selaras dengan Pekeliling Imigresen Malaysia Terhad 10/27.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6.30 petang di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada 6 Ogos 2024.

Iklan

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun hukuman terhadap Wei Chin ditangguhkan ke 25 Mac depan dan dia dibenarkan diikat jamin RM7,000 sementara menunggu hukuman dijatuhkan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Zulfadli Azharudin dan Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh diwakili peguam Wong Vi Vian. - Bernama