SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) untuk menganjurkan program Dialog Harmoni yang mempromosikan perpaduan dalam negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerjasama tersebut adalah selaras dengan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu.
Menurutnya, pada masa sama juga, platform Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama akan digunakan untuk memperkukuh keharmonian dan interaksi antara umat Islam serta masyarakat bukan Islam.
"Titah baginda agar umat Islam sentiasa berusaha untuk terus memperkukuh akidah dan iman akan dilaksanakan segera oleh agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) seperti Jakim, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) termasuk TV Alhijrah.
"Ia adalah dengan kerjasama pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri bagi memperhebatkan usaha dakwah kefahaman Islam dan pengukuhan akidah kepada umat Islam,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, baginda menegaskan tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam khususnya di Selangor.
Sebagai Ketua Agama Islam di negeri Selangor, baginda berpandangan, cadangan garis panduan itu dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian iaitu ketika sekalian rakyat giat mengeratkan amalan muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.
Dalam pada itu, Mohd Na’im turut menambah, Islam adalah agama rahmah yang menyantuni semua pihak termasuk masyarakat bukan Islam.