KUALA LUMPUR - Dua hari lalu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) telah mencapai keputusan secara muafakat bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menerajui negara selepas penganjuran Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Keputusan itu juga dipersetujui oleh semua parti komponen termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberitahu, beliau sendiri mencadangkan agar Dr Mahathir menentukan tarikh peralihan kuasa.
Namun, ketenangan itu kembali berkocak apabila pada Ahad, lima mesyuarat politik diadakan serentak.
Kesannya, seluruh negara mula tertanya-tanya, apa sebenarnya berlaku pada hari Ahad yang sewajarnya menjadi tenang itu?Kenapa lima mesyuarat politik diadakan ketika pelan peralihan kuasa sudah dimuktamadkan?
Kelima-lima mesyuarat politik tergempar yang diadakan pada Ahad ialah pertemuan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berlangsung pagi ini di ibu pejabat parti itu.
Sementara di sebuah hotel yang tidak jauh dari ibu pejabat Bersatu, turut berlangsung pertemuan sejumlah pemimpin yang dipercayai dari kem Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Antara pemimpin berkenaan ialah Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).
Aktivis sosial, Hishamuddin Rais serta penasihat Azmin, Khalid Jaafar juga menyertai pemimpin-pemimpin itu.
Bukan hanya pemimpin PKR, bahkan kelibat Ahli Parlimen Larut dari Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga difahamkan berada di hotel tersebut.
Dalam masa sama,semua Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) difahamkan bertemu di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat dengan Pengerusi GPS yang juga Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
ARTIKEL BERKAITAN: Azmin, Zuraida buat pengumuman besar petang ini?
Tun M hanya senyum, tak beri komenDi celah-celah kesibukan mesyuarat politik dari gabungan pemerintah, dua parti politik pembangkang iaitu UMNO dan Pas juga difahamkan menganjurkan mesyuarat pada hari ini.
UMNO dan Pas juga dilaporkan menghadiri pemukiman di kemudahan latihan UMNO di Janda Baik, Pahang pada Sabtu dan berakhir hari ini.
Memetik sumber seperti dilapor Malay Mail, sekutu Mohamed Azmin didakwa akan mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir Mohamad selepas Perdana Menteri selesai mengadakan mesyuarat di ibu pejabat Bersatu.
"Dr Mahathir dikatakan akan bertemu dengan Ahli Parlimen dari Bersatu dan 15 Ahli Parlimen daripada sekutu Mohamed Azmin malam atau hari ini.
"Terdapat juga ahli Parlimen daripada UMNO yang turut menghadiri mesyuarat itu dengan Perdana Menteri malam ini,” demikian memetik sumber tersebut.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan beberapa pemimpin kanan PKR yang dilihat setia dengan Mohamed Azmin sedang bermesyuarat di sebuah hotel di Petaling Jaya.
Selain Zuraida, pemimpin-pemimpin PKR lain yang sedang berhimpun di hotel tersebut adalah Datuk Saifuddin Abdullah (Temerloh); Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat); dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).
Mesyuarat tergempar itu dijangka mempunyai kaitan dengan ‘penentuan’ masa depan dan kepimpinan negara.
Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa pemimpin Bersatu memberi amaran untuk keluar PH pada mesyuarat Majlis Presiden PH Jumaat lalu, sekiranya Dr Mahathir terus ditekan untuk menentukan tarikh peralihan kuasa.
Mengikut rekod, PH dan sekutunya Warisan mempunyai 138 kerusi di Dewan Rakyat. Namun, Bersatu mengumumkan untuk meninggalkan komponen parti itu, PH akan kehilangan 26 kerusi, meninggalkan kerajaan dengan hanya 112 kerusi.