'Arwah tak sempat berpaut, jatuh ke laut lalu tenggelam'

Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan nelayan tercampak dari bot ditemukan lemas

BESUT - Nelayan yang lemas selepas tercampak ke laut dalam kejadian di muara Sungai Keluang di sini, pagi Ahad tidak sempat berpaut ketika bot yang dinaikinya dilambung ombak.

Sepupu mangsa, Mohd Sani Jaafar, 52, berkata, sebelum kejadian dia bersama mangsa, Mohd Fatihil Asrol Mat Zailani, 39, serta seorang lagi ahli keluarga keluar memancing di laut kira-kira jam 7 pagi dan pulang ke darat sekitar jam 9 pagi.

Iklan
Iklan

"Saya sempat berpaut pada bot tetapi arwah tidak sempat berpaut dan terjatuh ke laut lalu tenggelam.

"Ketika kejadian saya dan pemandu bot Mohd Aizat Abd Rahman, 40, telah berpatah balik untuk mencari arwah tetapi gagal apabila jasad Mohd Fatihil Asrol tenggelam dibawa arus," katanya ketika ditemui di muara Sungai Keluang di sini pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, ketika perjalanan, mangsa tidak banyak bercakap sebelum bot dinaiki mereka dilambung ombak.

"Sepanjang perjalanan pulang, arwah tidak banyak bercakap.. Kami agak hairan kerana biasanya sebelum ini sikap arwah tidak sebegitu.

Iklan

Mohd Sani memberitahu, biasanya mereka akan keluar ke laut jam 7 pagi dan pulang kira-kira jam 4 petang, namun pada hari kejadian mereka memilih untuk pulang awal kerana tidak mendapat sebarang hasil selepas dua jam di laut.

Sementara itu, Mohd Aizat berkata, dia tidak menyangka pemergian mereka berempat untuk mencari rezeki bertukar menjadi tragedi.

"Pemergian arwah untuk mencari sumber rezeki amat dirasai kerana kami pergi bersama namun arwah tidak pulang bersama.

"Kejadian ini amat meninggalkan kesan buat kami," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan mayat Mohd Fatihil Asrol ditemukan terdampar di muara Sungai Keluang di sini sekitar jam 12.40 tengah hari selepas hampir tiga jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.