SHAH ALAM – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) diyakini mampu terus memberikan dividen sekurang-kurangnya RM32 bilion kepada kerajaan pada tahun ini dan tahun depan walaupun syarikat itu baharu sahaja mengiktiraf Petroleum Sarawak Bhd (Petros) sebagai agregator gas tunggal Sarawak.
Pakar Ekonomi University College i-CATS, Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, ia kerana jumlah dividen diberikan kepada kerajaan lebih bergantung kepada pengeluaran dan harga minyak mentah global.
Katanya, keadaan harga minyak mentah yang stabil sekarang masih berupaya memberikan pulangan atau pendapatan agak sama seperti tahun lalu kepada Petronas dalam tempoh setahun dua ini.
"Petronas bukan sahaja beroperasi di Sarawak tapi pasaran globalnya sendiri lebih besar. Petronas ada di Sudan, Iraq dan banyak lagi di negara-negara luar lain, malahan syarikat ini turut tersenarai sebagai antara 500 jenama paling berharga dunia menurut firma penilaian jenama global, Brand Finance.
"Jadi pengiktirafan yang diberi kepada Petros sebagai agregator gas tunggal Sarawak juga tidak menjadi sebab utama kenapa Petronas susun semula strukturnya, mungkin sedikit sahaja perkara yang berlaku di Sarawak diambil kira kerana dari segi perjanjian asal antara syarikat itu dengan pihak ketiga termasuk Petros, ia tidak berubah,” katanya kepada Sinar Harian.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tengku Tan Sri Muhammad Taufik pada Jumaat dilapokan berkata, langkah penyusunan semula Petronas dibuat untuk memastikan syarikat minyak nasional itu dapat terus menyumbang kepada pembangunan negara.
Petronas kini mempunyai tenaga kerja seramai 52,000 orang dan 16,000 daripadanya adalah pemangkin utama.
Sebelum ini wujud pertikaian yang berlanjutan bertahun-tahun antara Petronas dan Petros mengenai hak pengedaran gas di Sarawak apabila negeri terbabit menuntut untuk mengambil alih peranan sebagai agregator gas.
Mengulas lanjut, Shazali menjelaskan, sekiranya Petros yang dimiliki kerajaan Sarawak meraih keuntungan daripada aktiviti dijalankan, kerajaan pusat turut menerima pulangan daripada hasil cukai.
"Petros boleh menjadi rakan strategik berpotensi tinggi kepada Petronas kerana sebagai sebuah syarikat minyak dan gas yang baharu, mereka sedang meningkat naik dan mempunyai banyak peluang pertumbuhan.
"Jadi Petronas dan Petros bukan sahaja mampu berkolaborasi di Sarawak tetapi boleh meneroka telaga minyak serta peluang pasaran baharu di peringkat global, contohnya seperti di Timor-Leste, Afrika dan sebagainya.
"Kalau wujud kekangan untuk Petronas meneroka pasaran baharu sebelum ini disebabkan kekurangan tenaga kerja misalnya, maka saya percaya kolaborasi dengan Petros akan selesaikan masalah itu,” ujarnya.