TORONTO -"Kedaulatan Kanada tidak boleh dijual beli.”Amaran tegas itu dikeluarkan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau susulan ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mahu menjadikan Kanada negeri ke-51 AS.
Bercakap ketika forum ekonomi pada Jumaat, Trudeau berkata, kenyataan Trump berhubung perkara berkenaan sebelum ini adalah hasrat sebenar presiden AS itu dan bukannya berseloroh.
Sejak kebelakangan ini, Trump berulang kali meminta Kanada untuk menjadi sebahagian daripada AS.
Mendepani perkara itu, beliau berkata, Ottawa akan bertindak 'secara taktikal dan strategik' meskipun beliau menegaskan bahawa Trump sama sekali tidak akan berpeluang menjadikan Kanada sebahagian daripada AS.
"Mereka (AS dan Trump) sebenarnya tamak dengan kekayaan sumber mineral kami. Oleh sebab itu, mereka sangat berminat untuk mendapat manfaat daripadanya,” katanya.
Dalam ucapan pada Januari lalu, Trump berkata, Kanada akan mendapat perlindungan kesihatan yang jauh lebih baik jika menyatakan persetujuan untuk bersama negaranya.
"Jika AS mengambil alih Kanada, katanya, kami akan"membiarkan perniagaan bergerak ke Kanada secara rutin dan an tiada tarif,” jelasnya.
Wujudkan perang dingin di Kanada
Ancaman itu sekali gus mewujudkan fenomena perang dingin perdagangan di Kanada di mana papan tanda 'pilih barangan Kanada' banyak dinaikkan di kedai-kedai di seluruh negara.
Media antarabangsa melaporkan retorik Trump itu nampaknya telah menggugat kepercayaan persaudaraan yang telah lama terjalin iaitu lebih satu abad yang menjadi teras perhubungan kedua-dua negara berkenaan.
"Ancaman Trump itu telah merosakkan hubungan antara kedua-dua negara, ia pastinya akan mengambil tempoh masa yang agak panjang untuk menyelesaikannya,” kata Profesor Sejarah Amerika Utara, Jon Parmenter.
Lawan 'drama' tarif Trump
Pengumuman Trump berhubung pengenalan tarif segera diatasi oleh Trudea menerusi tindakan balas oleh Kanada.
Trudeau, berkata negara itu akan mengenakan kadar tarif setara sebanyak 25 peratus ke atas import dari AS yang dianggarkan bernilai sehingga AS$155 bilion (RM690 billion).
Bagaimanapun, Trump menangguhkan pelaksanaan tarif berkenaan hanya beberapa jam sebelum ia sepatutnya berkuat kuasa selepas Trudeau bersetuju untuk meningkatkan kawalan di sempadan mereka dengan Amerika Syarikat.
"Ottawa akur untuk menghentikan ancaman dadah berbahaya seperti Fentanyl yang telah membunuh ratusan ribu rakyat Amerika serta memusnahkan keluarga dan komuniti di seluruh negara,” tulis Trump.
Penggal terakhir
Trudea, 53, pada bulan lalu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Parti Liberal, namun beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga pemilihan penggantinya.
Trudeau berikrar untuk terus menerajui Parti Liberal hingga pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan.
Beliau merupakan Perdana Menteri Ke-23 Kanada.
Selama menjawat sebagai PM beliau dikenali sebagai seorang yang komited dan menyokong pertumbuhan ekonomi untuk golongan kelas menengah.
Beliau juga merupakan seorang yang bijak mencipta banyak peluang pekerjaan untuk rakyatnya.
Bagaimanapun berlaku penurunan sokongan menerusi tinjauan pendapat selain perpecahan dalaman parti menjelang penggal akhir pentadbirannya.
Sebelum ini, Pentadbiran Presiden ke-46 AS, Joe Biden menggelar Trudeau sebagai 'rakan setia AS'. - Agensi