Padah muat naik komen ugutan di Facebook, dua lelaki didenda

Iklan
Kedua-dua tertuduh mengaku salah memuatnaik komen berbaur ugutan jenayah terhadap seorang wartawan penyiaran di laman sosial Facebook 'Group Gabungan Anak Terengganu'

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Majistret hari ini mengarahkan dua lelaki membayar denda masing-masing berjumlah RM5,000 dan RM4,000 selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah memuat naik komen berbaur ugutan jenayah terhadap seorang wartawan penyiaran di Facebook.

Majistret Nordiana Abd Aziz membuat keputusan itu terhadap Mohd Ariff Fahmi Ab Ghani, 33, dari Kampung Tok Beng, di sini, dan Muhammad Muzammer Zamri, 30, dari Kampung Seberang Baruh.

Iklan
Iklan

Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dibacakan secara berasingan.

Tertuduh Mohd Ariff Fahmi, didakwa meninggalkan komen ugutan yang akan mencederakan Mohd Ishak Abdillah Ngah, 38, di Facebook 'Group Gabungan Anak Terengganu' antara jam 10 pagi hingga 3.01 petang, pada 1 Januari lalu.

Iklan

Susulan pengakuan salah itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Bagi tertuduh, Muhammad Muzammer, dia didakwa meninggalkan komen untuk memukul mangsa di Facebook yang sama iaitu antara jam 10 pagi sehingga 3.01 petang pada 1 Januari lalu.

Iklan

Tertuduh dijatuhi hukuman denda RM4,000 atau lima bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah memuat naik video liputan berkenaan isu ketiadaan elektrik dan air di Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Wakaf Mempelam di sini melalui Facebook Buletin TV 3, pada 1 Januari lalu.

Video berkenaan dikongsi oleh pengguna Facebook yang lain di 'Group Gabungan Anak Terengganu (Original) sebelum mangsa dikecam oleh netizen yang tidak berpuas hati dengan liputan berita berkenaan.

Pada hari sama, antara jam 10 pagi sehingga 3.01 petang, mangsa terbaca komen yang dimuatnaik oleh kedua-dua tertuduh menggunakan profile Facebook bernama Ariff Fahmi dan MuZammer Zamri yang mengugut untuk mencederakan serta memukul mangsa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang wartawan TV3 menerima ugutan bunuh daripada individu tidak dikenali susulan laporan berita dikeluarkan berhubung isu SRIDI, Wakaf Mempelam di sini.

Ugutan bunuh itu diterima menerusi komen-komen netizen yang ditinggalkan di portal online televisyen tersebut selepas satu video mengenai isu berkaitan dimuat naik dan menjadi tular di laman sosial.